Marilah kita berbicara secara terbuka, rasional dan prihatin apa yang telah berlaku terhadap bahasa Melayu pada masa kini. Negara yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap rakyat wajar dan berhak memberi pendapat dengan tujuan yang baik dan ikhlas demi kebaikan bangsa dan negara jua.
Peristiwa terpinggir dan diketepikan bahasa Melayu sebenarnya berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sebelum itu bahasa Melayu begitu mantap dan dihormati semua bangsa dan seluruh kalangan rakyat, terutama para pemimpin yang menunjukkan semangat mengutamakan bahasa Melayu dalam sebarang urusan termasuk berucap dalam majlis-majlis rasmi dan mesyuarat.
Akan tetapi kini, ternyata kebanyakan pemimpin kita tidak begitu betah lagi menggunakan bahasa Melayu, termasuk ketika ditemu ramah dan menyampaikan maklumat melalui televisyen menggunakan bahasa Inggeris. Kerana itu berlarutanlah penggunaan bahasa Inggeris dari kalangan ahli-ahli korporat, termasuk kalangan rakyat yang berpendidikan bahasa Inggeris.
Sesungguhnya kita tidak sama sekali anti atau memusuhi penggunaan bahasa Inggeris, akan tetapi jika difikirkan secara rasional, suatu ketika dulu pemimpin kita beria-ia benar ingin mewujudkan perpaduan melalui bahasa Melayu, kebetulan pula bahasa Melayu sudah termaktub dalam perlembagaan sebagai bahasa rasmi negara, khususnya Perkara 152. Bahasa Kebangsaan (1) Bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu.
Meskipun terdapat dalam perlembagaan negara menegaskan bahawa: Walau apa pun peruntukan fasal (1), selama tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka dan selepas daripada itu sehingga diperuntukkan oleh Parlimen, Bahasa Inggeris boleh digunakan dalam kedua-dua Majlis Parlimen, dalam Dewan Negeri tiap-tiap Negeri, dan bagi segala maksud rasmi.
Kini negara kita sudah merdeka menjangkau 60 tahun apakah kita masih mengekalkan isi perlembagaan tentang penggunaan bahasa Inggeris itu hingga sekarang? Selama 60 tahun itu kita sewajarnya sudah mantap menggunakan bahasa negara kita sendiri.
Kita amat bimbang usaha untuk menyatupadukan rakyat negara ini, suatu ketika nanti tidak dapat lagi dibendung apabila bahasa utama atau bahasa perpaduan bukan lagi bahasa Melayu yang kini menjadi teras perpaduan rakyat negara ini.
Apakah tidak berkemungkinan unsur-unsur perpaduan akan terhakis apabila rakyat negara ini tidak lagi menghormati bahasa rasmi negara, justeru tidak juga menghormati perlembagaan?
Suatu kesan lagi yang amat ketara, apabila pemimpin-pemimpin kita bertutur bahasa Inggeris, sejumlah besar rakyat negara ini terutama kalangan orang Melayu yang tinggal di luar bandar yang tidak memahami bahasa Inggeris, mesej atau maklumat yang ingin disampaikan oleh pemimpin kita tentulah tidak kesampaian, tentulah tidak dapat difahami oleh mereka.
Kerana itu, jika sekian banyak rancangan atau kempen yang dilakukan oleh kerajaan terdapat kurang berkesan termasuk kempen berbudi bahasa, tidakkah salah satu sebab kerana rakyat tidak memahami maklumat yang disampaikan melalui bahasa Inggeris?
Oleh kerana pemimpin-pemimpin kita begitu mengagung-agungkan bahasa Inggeris, tidakkah berlaku pula budaya kehidupan bangsa kita terpengaruh dengan budaya barat melalui penggunaan bahasa Inggeris itu?
Sekian banyak budaya kehidupan bangsa kita kini, terutama anak-anak muda yang terikut-ikut dengan pengaruh budaya barat terutama dari segi pakaian, tingkah-laku, adab sopan termasuk kes-kes jenayah seperti perogolan, pembunuhan, perompakan, penipuan, rasuah, penyelewengan dan lain-lain tindakan buruk yang sebelum ini kurang berlaku di negara kita, sebelum penggunaan bahasa Inggeris begitu berleluasa.
Tidakkah kesan dari pengaruh bahasa Inggeris itu mencorakkan budaya kehidupan masyarakat kita sekarang?
Kita lihat negara-negara maju seperti Jepun, Korea, China, termasuk negara-negara barat seperti Jerman, Perancis, Itali, Rusia, Belanda dan Portugis, kerajaan negara-negara tersebut termasuk para pemimpinnya tidak sama sekali mengagung-agungkan bahasa asing dalam kehidupan sehari-hari menyebabkan rakyat begitu mencintai budaya negara mereka sendiri.
Meskipun begitu mereka turut mempelajari bahasa Inggeris akan tetapi bahasa ibunda negara diutamakan. Pemimpin-pemimpin negara tersebut akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing jika diadakan apa-apa upacara pembukaan rasmi sama ada peringkat negara atau peringkat dunia.
Begitu juga negara-negara tetangga kita seperti Thailand dan Indonesia, bahasa ibunda masing-masing begitu dipertahankan. Mereka begitu ampuh mempertahankan jati diri, identiti dan maruah negaranya. Mengapa pemimpin-pemimpin kita tidak begitu semenjak akhir-akhir ini?
Bila kita membicarakan tentang jati diri, identiti dan maruah negara dan bangsa, pemimpin kita sering menyatakan kita sepatutnya memerintah mengikut acuan sendiri. Di manakah acuan itu jika bahasa negara mengikut bahasa asing?
‘Bahasa Jiwa Bangsa’, ‘Lenyap bahasa lenyaplah bangsa’, kata-kata hikmat inilah sering dilaung-laungkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu ketika memperjuangkan kemerdekaan negara kita dahulu termasuk pemimpin-pemimpin UMNO. Apakah kata-kata atau slogan itu sudah basi dan tidak bererti lagi dalam zaman globalisasi dan dunia tanpa sempadan?
Memang kita dapati sebilangan ahli-ahli korporat kita berpendapat bahawa banyak peribahasa kita merugikan bangsa Melayu, misalnya ‘Kalau rezeki secupak, tidakkan jadi segantang’. Mereka mengatakan orang-orang Melayu malas, tidak mahu berusaha sebab itu tidak maju dan kaya-raya. Bukankah peribahasa itu merupakan ‘qadar’ dan qadak’? Jika seseorang itu sungguh-sungguh berusaha tiba-tiba menghadapi bencana, tentulah rezeki secupak tidak boleh jadi segantang!
Jika negara-negara maju masih mempertahankan pendapat tersebut, mereka terus maju, ekonomi mereka melampaui sempadan seperti negara Jepun, justeru mereka tetap mempertahankan slogan dan peribahasa mereka, mengapa kita tidak?
Apakah tidak berkemungkinan negara kita telah atau mulai terjajahkembali sekarang? Pemimpin-pemimpin kita dahulu begitu bersungguh-sungguh berjuang menuntut kemerdekaan, bukan saja kemerdekaan negara tetapi juga kemerdekaan bahasa, pendidikan, ekonomi dan budaya. Perjuangan mereka amat berjaya, sehingga bahasa Melayu dimartabatkan hingga ke universiti dan sekian ramai anak-anak bangsa kita lulus dan kini berkhidmat sebagai doktor, jurutera, ahli korporat di seluruh negara melalui bahasa tersebut.
Mengapa pula kita ingin undur kembali ke zaman penjajah? Tidakkah langkah tersebut akan memundurkan anak-anak Melayu, sepertimana yang berlaku dalam zaman penjajahan dahulu?
Kita mempertikaikan anak-anak Melayu lemah dalam pelajaran bahasa Inggeris, mengapa suatu ketika dulu anak-anak kita berjaya bekerja dalam sektor swasta yang ketika itu mewajibkan penggunaan bahasa Melayu? Sektor swasta juga digalakkan menggunakan bahasa Melayu.
Di Jepun, Korea dan China sektor swasta dan pelabur dari luar dikehendaki mempelajari dan menggunakan bahasa negara mereka, mengapa kita perlu mengikut telunjuk sektor swasta mewajibkan kelulusan dan penggunaan bahasa Inggeris? Di manakah kuasa dan jati diri kita?
Sejarah adalah cermin kehidupan. Sewajarnya pemimpin kita menggunakan ‘cermin’ tersebut dalam menentukan arus pembangunan negara terutama bangsa Melayu. Kita khuatir, suatu ketika nanti orang-orang Melayu akan ketinggalan dalam semua bidang kehidupan sepertimana berlaku dalam zaman penjajahan dahulu apabila bahasa Inggeris diutamakan.
Berbicara tentang penggunaan bahasa Inggeris oleh setengah kalangan untuk mata pelajaran Sains dan Matematik kepada anak-anak bangsa kita, terutama penduduk luar bandar yang terdiri tujuh puluh peratus di negara kita sekarang, ternyata kesannya amat membimbangkan. Ahli-ahli psikologi berpendapat bahawa mempelajari sesuatu ilmu adalah lebih berkesan melalui bahasa ibunda sendiri, begitulah yang terus diamalkan oleh negara- negara maju.
Apakah kita tidak akan maju dan membangun jika menggunakan bahasa kita sendiri sepertimana yang dilakukan oleh negara-negara tersebut?
Tidakkah berkemungkinan besar rakyat negara ini terutama penduduk luar bandar, khususnya anak-anak Melayu akan kecundang suatu hari nanti? Seandainya ketika itu ‘Nasi sudah menjadi bubur’ bagaimanakah nasib anak-anak bangsa kita? Siapakah yang patut dipersalahkan?
Projek atau rancangan menggunakan bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Sains dan Matematik dilakukan secara mendadak, tanpa dilakukan kajian dan penyelidikan yang terperinci, kini ramai para cendekiawan kita menyatakan pendapat ‘amat khuatir’ terhadap projek tersebut. Apakah pandangan dan buah fikiran mereka tidak benar atau tidak berharga? Sedangkan angka kelulusan anak-anak kita terutama yang tinggal di luar bandar ternyata amat merosot pencapaian kelulusannya (cuma sekitar enam belas peratus).
Apakah tidak berkemungkinan suatu ketika nanti anak-anak bangsa kita itu sudah tidak tahu lagi membilang satu, dua, tiga dan menggunakan istilah campur, tolak, darab dan bahagi dalam bahasa Melayu? Tidakkah bangsa Cina, meski di mana jua mereka berada tetap menguasai bahasa dan istilahnya dengan baik, apakah mereka tidak maju?
Jika pemimpin-pemimpin kita terutama pemimpin Melayu ingin berlaku jujur, ikhlas dan sayangkan anak-anak bangsa sendiri, sewajarnya apa yang benar berlaku daripada projek tersebut eloklah dikemukakan kepada rakyat secara terbuka dan rasional, jika tidak, betapa ruginya kehidupan anak-anak bangsa kita masa akan datang.
Pepatah bangsa kita lumrahnya tidaklah salah: Jika sesat di hujung jalan, baliklah ke pangkal jalan. Tindakan begitu bukanlah sesuatu yang memalukan atau bukanlah pula sesuatu yang merugikan, sebaliknya suatu tindakan yang mulia dan murni demi keselamatan anak-anak bangsa kita jua.
Rejab F.I
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?