Agama Islam sangat menekankan aspek halal dalam kehidupan seharian bagi seluruh umatnya, tidak kira sama ada dalam aspek perbuatan, pemakaian, percakapan, pemakanan dan banyak lagi. Malah, Allah S.W.T. turut berfirman di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 172 hingga 173 yang menyatakan dengan jelas mengenai konsep halal yang harus menjadi gaya hidup seluruh umat Islam, iaitu:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَٰتِ مَا رَزَقۡنَٰكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِلَّهِ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ
Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah.” (ayat 172)
إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيۡكُمُ ٱلۡمَيۡتَةَ وَٱلدَّمَ وَلَحۡمَ ٱلۡخِنزِيرِ وَمَآ أُهِلَّ بِهِۦ لِغَيۡرِ ٱللَّهِۖ فَمَنِ ٱضۡطُرَّ غَيۡرَ بَاغٖ وَلَا عَادٖ فَلَآ إِثۡمَ عَلَيۡهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٌ
Maksudnya:
“Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan bagimu bangkai, darah, daging babi dan binatang yang (ketika disembelih) disebut (nama) selain Allah. Tetapi barang siapa dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (ayat 173)
Berdasarkan kedua-dua ayat ini, orang Islam diseru agar terus berusaha untuk memilih apa-apa jua yang halal dalam kehidupan seharian, malah prinsip halal seperti yang dinyatakan itu juga menekankan bahawa golongan yang beriman adalah golongan yang beriman di sisi Allah S.W.T. merupakan mereka yang sentiasa berusaha untuk memelihara aspek halal dalam kehidupan seharian. Dalam konteks masyarakat pada hari ini, kita dapat melihat bahawa aspek halal ini semakin menonjol dan mula mendapat perhatian daripada seluruh ahli masyarakat, tidak kira sama ada mereka yang beragama Islam mahupun tidak. Masyarakat di seluruh dunia sendiri semakin memahami dan menerima konsep halal dalam Islam ini sebagai sesuatu yang bersifat universal dan menyeluruh dan bukannya sekadar perkara yang terhad kepada umat Islam sahaja.
Industri halal yang bukan sahaja meliputi industri pengeluaran makanan, malah industri-industri lain seperti pelancongan dan pakaian semakin berkembang pesat di Malaysia sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat terhadapnya. Dalam hal ini, bagi memastikan setiap industri halal di Malaysia ini dapat ditadbir dengan baik dan efisen, maka ia memerlukan kepada peruntukan undang-undang serta standard prosedur yang khusus bagi membantu pihak industri untuk mengikuti garis panduan halal ini secara menyeluruh.
Undang-Undang Halal di Malaysia
Secara asasnya, terdapat lebih daripada 20 akta undang-undang yang boleh dirujuk berkaitan dengan halal di Malaysia. Akta Perihal Dagangan 1972 ialah undang-undang paling awal yang digubal yang menyentuh mengenai aspek halal di Malaysia, di mana ia memberi perlindungan kepada pengguna dari segala bentuk amalan perdagangan tidak sihat yang merangkumi penandaan barangan, tanda harga, kesalahan dan hukuman serta bidang kuasa dari aspek penguatkuasaan (Wahab, Shahwahid, Hamid, & Miskam, 2015).
Akta ini telah dipinda dan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) telah digubal bagi menggantikan Akta Perihal Dagangan 1972. Salah satu seksyen yang terdapat dalam APD 2011 ini, iaitu Seksyen 29 telah menekankan mengenai pewujudan mekanisme institusi bagi mengurus dan mengendalikan hal ehwal berkaitan dengan pensijilan halal di mana Menteri boleh menamakan pihak berkuasa bagi memperaku, menandakan, membekalkan atau menawarkan sesuatu barangan termasuk yang berkaitan dengan pensijilan halal (Harlida & Alias, 2014).
Pindaan yang dibuat dalam APD 2011 ini telah memberi ruang baru kepada penguatkuasaan undang-undang halal yang lebih menyeluruh di Malaysia. Antara yang diberi penekanan ialah penambahbaikan terhadap definisi halal yang kini lebih menyeluruh serta penyeragaman sijil dan logo halal oleh pihak berwibawa iaitu JAKIM dan MAIN/JAIN. Pindaan APD 2011 turut memperluaskan bidang kuasa pegawai JAKIM dalam aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang terhadap pengusaha yang menyalahgunakan logo halal pada produk mereka. Malah, hukuman yang dikenakan jugaadalah lebih berat sebagai pengajaran kepada syarikat atau penguasaha yang melakukan kesalahan-kesalahan di bawah peruntukan perintah-perintah tersebut (Wahab et al., 2015).
Selain itu, Akta Makanan 1983 turut menyentuh mengenai aspek perlindungan terhadap pengguna berkaitan dengan pengendalian dan penyediaan makanan melalui kaedah yang halal, walaupun ia tidaklah disebut secara jelas di dalam akta ini. Namun, melalui peruntukan-peruntukan yang disebutkan di dalam akta ini, yang membincangkan mengenai aspek kebersihan, kesucian, kesihatan dan kualiti makanan, ia telah menepati konsep halal dan toyyiban seperti yang disarankan dalam Islam (Siti Salwa & Mohd Al’Ikhsan, 2015).
Peranan dan Fungsi JAKIM
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berperanan dalam mengeluarkan sijil pengesahan halal sebagai bukti pengiktirafan kehalalan sesuatu produk makanan, minuman dan bahan gunaan orang Islam yang berlandaskan hukum syarak dan seterusnya mewujudkan suatu standard halal yang seragam di Malaysia. Malah, ia juga adalah bagi mengelakkan sebarang kekeliruan serta salah fahaman masyarakat terutamanya para pengguna Islam berkaitan dengan kehalalan atau kesucian sesuatu produk yang dikeluarkan.
Sebelum sesuatu produk itu memperoleh pengesahan atau perakuan sijil halal daripada pihak JAKIM, ia hendaklah mematuhi semua syarat yang telah ditetapkan dalam Garis Panduan Premis yang membuat penyediaan, pemprosesan atau masakan makanan, minuman dan bahan gunaan orang Islam yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri masing-masing. Garis panduan yang disediakan oleh pihak JAKIM ini adalah menyeluruh dengan merangkumi prosedur pemeriksaan, pengesahan dan permohonan sijil halal, kelulusan, syarat-syarat, pemantauan dan penguatkuasaan (Zulkifli, 2010).
Malaysia telah menjadi sebuah hab halal dunia pada tahun 2010, dan menjadi negara pertama di dunia yang telah memperkenalkan standard halal yang lengkap yang merangkumi pelbagai aspek standard makanan halal seperti pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan. Standard halal ini merupakan suatu langkah dalam memastikan pengesahan dan persijilan halal yang diberi benar-benar mengikuti pematuhan berdasarkan ketetapan syariah. Antara bukti kejayaan standard halal Malaysia ini ialah apabila Bahagian Hab Halal, Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) telah mencipta sejarah dalam Industri Halal Global dengan menjadi badan persijilan pertama di dunia yang mengguna dan mengesahkan pengeluaran produk farmaseutikal halal (Siti Salwa & Mohd Al’Ikhsan, 2015).
Kesimpulan
Kesemua undang-undang, peruntukan, serta standard yang telah ditetapkan dalam aspek berkaitan dengan halal di Malaysia ini telah banyak membantu para pengguna Islam khususnya dalam membuat pilihan terbaik dalam kehidupan mereka. Apa yang paling penting adalah penguatkuasaan serta pemantauan menyeluruh serta usaha menangani pelbagai isu berbangkit berkaitan undang-undang dan standard berkenaan agar ia dapat bergerak dengan lebih maju dan berkembang lebih baik di Malaysia ini.
Rujukan
Harlida, A. W., & Alias, A. (2014). Halalan Tayyiban dalam Kerangka Perundangan Malaysia. Kanun, 1, 103–120.
Siti Salwa, M. S., & Mohd Al’Ikhsan, G. (2015). Standard piawaian halal di malaysia menurut perundangan, kelebihan dan kekurangan. International Journal of Islamic and Civilizational Studies, (November 2016). https://doi.org/10.11113/umran2015.2n2.18
Wahab, N. A., Shahwahid, F., Hamid, N. A., & Miskam, S. (2015). Undang-undang Halal Malaysia: Isu dan Cabaran, (December).
Zulkifli, H. (2010). Undang-undang produk halal di Malaysia: Isu penguatkuasaan dan pendakwaan.P
Oleh: Noor Farahi Kamaruddin
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?