Dedaun masa gugur satu persatu dihembus bayu masa. Evolusi pakaian turut berubah seiring waktu yang pantas beredar. Wanita dan lelaki Islam semakin sedar dan cenderung untuk berpakaian menutup aurat . Namun begitu, adakah cara berpakaian itu benar-benar menepati syarak ? Marilah sama-sama kita hayati dan fahami erti menutup aurat yang sebenarnya.
Aurat adalah bahagian tubuh badan yang wajib ditutup dan tidak boleh didedahkan.
Had aurat perempuan adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan manakala aurat lelaki dari pusat sehingga ke lutut.
Telah tercatat dalam Al Quran Allah S.W.T berfirman:
يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا
Ertinya:
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan
Surah Al A’raf :26
Begitu jelas dan terang intipati yang terkandung dalam kalam Tuhan. Namun, kenapa masih ada yang mendedahkan aurat? Kalau makanan yang terdedah pasti akan dihurungi lalat. Bagaimana kalau aurat terdedah ? Fuh, runtuh tembok iman ! Maruah terbang melayang bagaikan dedaun yang ditiup angin kencang !
Sahabat sekalian,
Agama Islam yang syumul tidak menghalang umatnya untuk tampil bergaya dengan memakai pakaian yang indah dan cantik. Pakailah dan bergayalah dengan pelbagai fesyen tetapi mestilah menepati syariat Islam.
Untuk yang bergelar muslimah insan terindah ciptaan Allah, pakailah pakaian yang bersih, tidak nipis dan longgar. Pakailah tudung yang cantik dihiasi keronsang dan pusinglah shawl tu berapa kali pun…..asalkan labuhnya melepasi bawah dada. Lambakan pelbagai fesyen tudung di pasaran amatlah dibanggakan namun amatlah mengecewakan kerana inovasi yang dilakukan tidak berteraskan syariat. Tudung cantik dihiasi permata gemerlapan tetapi singkat dan kainnya nipis walaupun harganya mahal. Para muslimah mestilah sedar dan memahami konsep bertudung dan berpakaian menepati syariat.
Untuk para lelaki perwira pembela agama, berpakaianlah yang selesa menepati syariat agar terserlah kewibawaan sebagai lelaki harapan negara. Tapi ingat…kaum lelaki diharamkan memakai pakaian daripada sutera. Golongan lelaki muslim agak kurang memperagakan pakaian yang mencolok mata berbanding golongan wanita. Ini kerana amat jarang lelaki yang berseluar pendek atas lutut mempamerkan peha yang kental di khalayak ramai. Namun, sudah tiba masanya para atlet muslim seperti pemain bola sepak memakai seluar dan menyarungkan legging ketika beraksi di padang. Jika syariat terpelihara pasti kemenangan akan lebih bermakna.
Sahabat sekalian,
Terdapat juga segelintir insan yang keliru indetiti dalam berpakaian. Mutkhir ini , ramai lelaki yang berpenampilan seperti perempuan dan perempuan yang berperwatakkan seperti lelaki.
Dalam kitab Al Libas hadith sahih daripada Abdullah Ibnu ‘Abbas Radiyallahu an hu yang bermaksud:
“Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Semoga mereka yang keliru identiti ini diberi hidayah agar kembali ke jalan yang diredhai Ilahi. Sewajarnya kita hendaklah menegur dan membimbing mereka untuk mengamalkan cara hidup yang sesuai dengan fitrah yang ditetapkan Ilahi. Golongan ini amat memerlukan sokongan dan tunjuk ajar bukannya kutukan dan tohmahan.
Sahabat sekalian,
Marilah kita mencontohi sunnah Rasulullah S.A.W dalam berpakaian. Baginda memakai baju yang berlengan panjang hingga ke pergelangan tangan. Baginda juga suka memakai pakaian berwarna putih, bersih, wangi dan berpakaian sederhana. Pernahkah terdetik di hati soalan .kenapa kita mesti berpakaian menutup aurat ? .Tujuannya adalah untuk membuktikan ketaatan terhadap perintah Allah S.W.T. dan menjaga maruah serta kehormatan diri. Sebagai hamba Allah yang kerdil, sewajarnya kita wajib patuh dan taat pada setiap suruhan dan larangan yang telah termaktub dalam al Quran dan al hadis.
Kesimpulannya, kita hendaklah memahami dan mengamalkan cara berpakaian yang menutup aurat dengan sempurna. Setiap amalan hendaklah berdasarkan ilmu yang berlandaskan syariat. Justeru, peri pentingnya kolaborasi para pereka fesyen dan agamawan untuk menghasilkan busana yang berteraskan syariat Islam. Pakaian yang diperagakan adalah mencerminkan ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T.
Ditulis oleh Noris Laila
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?