Menelusuri halaman demi halaman buku Raudhatus Salatin (Sultan-Sultan Soleh Di Alam Melayu) ini mengenalkan kita kepada para sultan alam Melayu. Mungkin sebelum ini kebanyakan daripada kita banyak didedahkan dengan empayar Islam yang besar-besar di belahan timur tengah dan barat sana. Tetapi di dalam buku ini kita akan berkenalan dengan para sultan alam Melayu yang berperibadi mulia serta digeruni musuh kerana ketokohannya.
Jika ditilik dengan realiti semasa, Kesultanan Melayu yang masih kekal hanya di Semenanjung Tanah Melayu serta di Brunei. Kebanyakan kesultanan Melayu di Indonesia telah tamat akibat penjajahan Belanda manakala di Filipina akibat penaklukan kerajaan Kristian Sepanyol. Di dalam buku ini penulis menceritakan peribadi 33 orang sultan-sultan agung di Alam Melayu serta kepulauan Nusantara. Keistimewaan dan kekuatan buku ini ialah kajian lapangan yang dibuat penulis termasuk melawat tinggalan sejarah di Nusantara dan Eropah.
Kesultanan Melayu juga banyak meninggalkan jejak-jejak sejarah yang bernilai untuk kita ketahui. Kesultanan Melayu Melaka misalnya, menjadi salah satu kerajaan yang mempunyai pelabuhan yang tersibuk di dunia pada abad ke 15 masihi dan memiliki kekayaan yang tidak terkira pada masa kegemilangannya yang bertahan hampir 100 tahun. Melaka menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang dari segenap pelusuk dunia sehingga menjadi rebutan kerajaan Portugal sebelum mereka menakluk Melaka pada tahun 1511 M.
Selepas Kesultanan Melayu Melaka rebah, di Sumatera lahir Kerajaan Aceh Darussalam yang bangkit menggantikannya. Kegemilangan Aceh di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Muda meletakkan kerajaan Melayu ini disegani dan dikenali dunia. Baginda menjalinkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Britain, Perancis, dan Belanda di Eropah. Bahkan, surat yang diutuskan baginda kepada Raja England ditulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi.
Kita mungkin mengenali ataupun mendengar nama tempat di Filipina yang dihuni umat Islam iaitu Mindanao. Suatu masa dahulu Kesultanan Melayu Islam juga pernah berdiri di sini. Sultan Kudarat yang memerintah kesultanan Maguindanao pada abad ke 17 Masihi digeruni oleh penjajah Sepanyol kerana kepahlawanan baginda dalam mempertahankan akidah rakyatnya daripada dirobek oleh musuh. Sultan Kudarat menjadi penghalang besar kepada musuh Islam ketika itu sehinggakan kewarakan baginda turut diakui oleh mereka.
Selain itu, kebanyakan sultan di Alam Melayu juga terdiri daripada ulama’ yang giat menyebarkan dakwah Islam ke serata tanah Nusantara. Bahkan dua orang Wali Songo juga merupakan sultan yang memerintah kerajaan masing-masing. Di Semenanjung Tanah Melayu pula, terdapat sultan yang mengarang kitab agama serta mengajarkannya seperti Sultan Perak, Sultan Iskandar Shah serta Sultan Selangor, Sultan Sulaiman Shah yang mengarang kitab Tauhid.
Ini hanya secebis ulasan daripada buku ini. Kepada pembaca yang ingin membaca maklumat baru tentang Kesultanan Melayu bolehlah mendapatkan buku yang berharga ini. Pembaca akan dapat membaca para sultan dari pelbagai kesultanan Melayu yang lain seperti Kesultanan Pontianak, Tidore, Ternate, Sambas, Buton dan banyak lagi. Rentang waktu yang panjang serta usaha yang dijalankan penulis untuk menyiapkan buku ini hendaklah kita hargai dengan sebaiknya kerana ianya adalah sejarah yang perlu kita ketahui. Dengan mengenali sejarah sendiri, bangsa Melayu akan mempunyai jatidiri yang tersendiri lebih-lebih lagi kepada generasi muda pada hari ini.
Pengulas,
Syamsul Bahari bin Abd Manaff
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?