HAM dan Hubungannya dengan Liberalisme atau Islam Liberal
Perjuangan atas nama HAM dilihat sebagai satu agenda yang sakral, bahkan lebih murni daripada perjuangan menjaga kesucian agama. HAM atau disebut sebagai human rights dapat difahami sebagai dasar yang telah menjadi inheren dalam diri manusia di mana setiap individu berhak untuk menikmati segala haknya sebagai manusia tanpa terikat kepada bangsa, warna kulit, jantina, agama, dan lain-lain. Oleh itu, hak ini dilihat sebagai sesuatu yang tidak pernah terpisah daripada essence (zat) manusia. UDHR pada fasal 1 mengisytiharkan bahawa “All human beings are born free and equal ini dignity and rights.” Terjemahan: “Semua manusia dilahirkan bebas dan sama rata dari segi kemuliaan dan hak-hak.”
Hal ini menjadi dasar kepada perjuangan liberalisme atau Islam Liberal yang sangat mendewakan konsep kebebasan dan pemeliharan ke atas hak-hak individu tanpa terikat dengan mana-mana sentimen. Seperti idea liberalisme, fahaman HAM di barat juga mengalami evolusi dalam tiga fasa iaitu: awal/klasik, pertengahan/moden, komtemporari/pasca moden.
Pada zaman awal, doktrin HAM ini lebih menjurus kepada konsep tanggungjawab (duties) dan bukannya sebagai hak-hak manusia (human rights). Ia masih berpandukan kepada dasar ajaran agama yang menekankan peraturan-peraturan moral. Menjelang zamam moden iaitu sekitar penghujung 19M, faham HAM ini mula bergerak meninggalkan faham lamanya dan bertuhankan kepada humanism. Hal ini kerana berlakunya permasalahan di dalam agama Kristian khususnya yang bersifat rigid dan bertentangan dengan rasional akal manusia. Kezaliman kepada rakyat marhain yang dilakukan oleh golongan bangsawan telah melanggar etika moral atau natural law yang diletakkan pada zaman awal.
Oleh itu, para pemikir dan cendekiawan pada ketika itu mulai membawa falsafah liberalisme bagi membebaskan masyarakat daripada keterikatan kepada nilai-nilai agama dalam memperjuangkan hak-hak mereka sebagai manusia. Idea liberalisme ini terpaksa diterima kerana kegagalan agama Kristian pada ketika itu dalam menjaga kebajikan dan membangunkan masyarakat. Di sini juga bermula sekularisasi yang bersifat memisahkan agama daripada urusan kehidupan manusia. HAM yang pada awalnya dikonsepkan sebagai duties atau natural law kemudiannya diubah kepada Natural Rights.
Seiring masa, konsep natural rights tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang relevan kerana hak-hak yang diperjuangkan dilihat semakin kurang perkaitannya dengan natural law hasil daripada sekularisasi yang berlaku. Akhirnya, istilah natural rights ini digantikan dengan human rights atau disebut sebagai HAM. Falsafah HAM ini sebenarnya membawa unsur pemisahan agama daripada kehidupan dan penolakan terhadap kekuasaan mutlak dan kezaliman dalam politik.
Pada zaman pasca modernisasi, falsafah HAM ini terus berkembang dan cuba dipaksakan ke atas seluruh masyarakat dunia hari ini hasil daripada pengalaman yang telah dilalui oleh masyarakat barat. Kita kemudiannya melihat pengisytiharan Universal Declaration of Human Rights (UDHR) oleh Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), International Covenant on Civil and Politic Rights (ICCPR) dan International Covenant on Economic, Social and Cultural Rights (ICESCR) yang kemudiannya menjadi embrio kepada kelahiran The International Bill of Rights (IBR). Hanya satu dasar yang melatari segala pembentukan dokumen-dokumen ini iaitu penyingkiran nilai-nilai agama dari kehidupan dengan alasan kepastian yang diajarkan oleh agama adalah khurafat, apa-apa fakta haruslah diragukan, dan segala sesuatu yang bersifat autoriti hendaklah ditentang.
Akhirnya, fasal-fasal yang terkandung dalam dokumen-dokumen ini sama ada UDHR atau ICCPR yang merupakan perincian serta penambahbaikan kepada UDHR akhirnya menjadi rujukan pihak liberalisme dalam mengembangkan idea mereka serta mengemukakan tuntutan-tuntutan beratasnamakan HAM. Konsep kebebasan yang mengetepikan nilai-nilai moral dan agama serta menganggapnya sebagai hak-hak individu yang bersifat privasi dan tidak boleh dicabuli telah mengakibatkan golongan LGBT misalnya berjuang untuk mendapatkan ‘hak’ mereka bahkan kewujudan mereka cuba dinormalisasikan di dalam masyarakat.
Tiada lagi perhitungan halal dan haram atau agama yang mengatur panduan hidup sehingga penghinaan ke atas al-Quran dan Nabi Muhammad saw juga dipandang enteng atas dasar kebebasan individu untuk bersuara dan memberi pandangan. Islam cuba diprogresifkan, dimodenisasikan, atau namakan apa sahaja istilah namun intinya adalah agar Islam harus diperbaiki untuk disesuaikan dengan realiti masyarakat sedangkan yang sepatutnya terjadi adalah Islam sebagai agama yang mengawal perilaku manusia khusus penganutnya.
Jika agama Kristian dilihat gagal untuk mengatur kehidupan masyarakat kerana kelemahan-kelemahan yang terdapat di dalamnya, Islam tidak harus dihukum dengan pandangan yang sama kerana nilai-nilai yang diajarkan di dalam Kristian sudah tentu jauh sekali berbeza dengan nilai-nilai yang melatari agama Islam. Islam tidak bersifat rigid atau dogmatik seperti mana yang didakwakan oleh pemikir barat ke atas agama Kristian, bahkan Islam memberi ruang kepada penganutnya untuk berfikir namun fikiran tersebut haruslah dipandu dengan nilai-nilai murni dalam agama agar tidak terjerumus kepada tuntutan hawa nafsu dan kebendaan.
Di Malaysia, isu liberalisme dan Islam Liberal akhir-akhir ini begitu hangat dipolemikkan hasil daripada perubahan sistem politik negara. Konsep Islam sebagai rahmatan lil a’alamin, hifz al-deen, dosa peribadi dan dosa umum, dan lain-lain sedikit sebanyak telah membuka ruang kepada pihak liberalism untuk menyebarkan doktrin mereka ke dalam masyarakat bahkan mendesak penerimaan ideologi Islam Liberal yang telah lama ingin disuburkan di dalam negara. Justeru, kita melihat kerencaman tuntutan yang dibuat dalam usaha untuk melahirkan negara yang berwajah baru, iaitu berwajah liberalisme.
Tuntutan-Tuntutan Pihak Liberal di Alaf Malaysia Baru
Gagasan Malaysia Baru yang diterajui oleh para pimpinan parti Pakatan Harapan dilihat memberikan pelbagai implikasi kepada paradigma dan cara berfikir masyarakat. Ideologi kebebasan, hak asasi manusia, sentimen-sentimen keagamaan, perkauman, dan lain-lain cuba ditiupkan kembali dalam masyarakat agar dikatakan seiring dengan pembentukan Malaysia yang lebih maju dan progresif. Pendokong-pendokong gerakan Liberalisme dilihat semakin diberikan ruang untuk menyatakan suara dan mengukuhkan kedudukan mereka di Malaysia.
Jika disoroti satu persaru fenomena liberalisme yang berlaku di Malaysia, isu-isu yang mengancam akidah umat Islam telah lama bertapak misalnya seperti dokongan terhadap prinsip kebebasan beragama sehingga munculnya isu murtad dan pertukaran agama oleh Lina Joy, Siti Fatimah Ab Karim, Hartina Kamaruddin, Aisyah Bokhari, dan lain-lain. Susulan daripada isu-isu ini lahirnya cadangan penubuhan Interfaith Commision (IFC) oleh Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism, and Taoism (MCCBCHST) yang menyentuh secara langsung isu akidah umat Islam dengan tujuan untuk memberi hak murtad kepada orang Islam, hak kebebasan beragama kepada anak-anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tanpa secara terus menjadi orang Islam, hak perkahwinan antara orang Islam dan bukan Islam tanpa dikenakan tindakan undang-undang dan mengusulkan bahawa agama Islam tidak perlu dicatat dalam mana-mana kad pengenalan orang Islam. Walaubagaimanapun, cadangan penubuhan IFC ini telah ditolak sendiri oleh perdana menteri ketika itu iaitu YAB Datuk Seri Abdullah bin Ahmad Badawi dan digantikan dengan dialog antara agama.
Selain itu, penerimaan faham pluralisme agama yang menganjurkan pegangan bahawa tuhan dalam semua agama adalah sama telah mencetuskan isu penggunaan kalimah Allah oleh agama Kristian. Sekitar tahun 2009, Gereja Roman Katolik telah memfailkan permohonan agar perintah Kementerian Dalam Negeri yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam majalah The Herald versi Bahasa Melayu dikira tidak sah. Namun, keputusan Mahkamah Persekutuan tidak memihak kepadanya. Mereka kemudiannya sekali lagi mengajukan permohonan kepada Mahkamah Rayuan namun tetap ditolak kerana Mahkamah Rayuan tidak dibenarkan menyemak kes Mahkamah Persekutuan melainkan pada keadaan yang tertentu dan ini sangat jarang sekali berlaku.
Tidak terhenti setakat itu, lahir pula gerakan feminisme dengan nama Sister in Islam (SIS) yang membawa perjuangan kesetaraan gender. Ia bertitik tolak dari satu persoalan iaitu jika Islam itu adalah agama keadilan, lalu mengapa adanya hukum-hukum di dalam Islam yang dilihat tidak berlaku adil kepada wanita seperti lelaki diangkat sebagai pemimpin ke atas wanita, seorang isteri harus taat kepada suami, suami dibenarkan memukul isteri yang nusyuz, kuasa talak diberikan sepenuhnya kepada suami, dan lain-lain. Akhirnya mereka sampai kepada satu kesimpulan bahawa undang-undang Islam yang diaplikasikan dalam dunia hari ini tidak bersifat divine sebaliknya merupakan rekaan para ulama yang digelar sebagai ulama klasik atas kepentingan-kepentingan tertentu.
Oleh itu, mereka menuntut supaya dilakukan penggubalan ke atas undang-undang keluarga Islam serta pentafsiran semula ke atas al-Quran yang kononnya dilihat sangat terpengaruh dengan sosiobudaya dan suasana politik masyarakat Arab pada ketika itu. Mereka juga memegang teguh prinsip bahawa ayat-ayat al-Quran itu bersifat wahyu Ilahi, namun kefahaman yang didapatkan daripadanya adalah bersifat mutlak dan bukan hak milik agamawan untuk membuat tafsiran mengenainya. Justeru, pintu ijtihad haruslah dibuka seluas-luasnya agar tafsiran baru daripada al-Quran akan membawa kepada satu kemajuan yang baru ke dalam masyarakat.
Begitulah antara isu-isu liberalisme yang telah cuba diserap masuk ke dalam masyarakat Malaysia di mana serangan ke atas akidah umat Islam dilakukan secara berterusan. Serangan ini bukan sahaja datang daripada orang-orang bukan Islam yang sememangnya maklum akan sentiasa berusaha untuk menjatuhkan Islam, namun yang lebih mendukacitakan adalah cabaran yang datang daripada saudara seagama sendiri dengan alasan untuk sebuah kemajuan dan kemodenisasian. Dakwaan ini seolah-olah ingin menyatakan bahawa Islam yang diamalkan oleh umat Islam sejak beratus tahun lamanya hanyalah satu warisan yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman.
Di samping itu, antara isu yang cuba dipolemikkan oleh puak Islam Liberal mutakhir ini adalah paksaan penerimaan ke atas golongan Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT) atas alasan Islam sebagai rahmatan lil ‘alamin yang menerima seluruh umat manusia tanpa sebarang diskriminasi. Sedangkan sekiranya diperhatikan kaedah Islam sebagai rahmat ke atas seluruh Islam bukan sekadar mengajarkan penganutnya tentang rahmat dan kelembutan, sebaliknya mendidik mereka juga dengan ancaman dan hukuman. Para ulama dahulu tidak mengamalkan sikap apologetic nature sebaliknya menjelaskan kepada para penganutnya halal dan haram sesuatu perkara dengan sejelas-jelasnya. Hal ini kerana mereka bersandarkan kepada hadis yang disampaikan oleh Rasulullah saw: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat perkara-perkara syubhah yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.
Justeru, pendekatan yang mereka gunakan dalam penjelasan sesuatu hukum adalah jelas tanpa berselindung. Namun, metodologi yang digunakan dalam memujuk semula golongan yang tersasar ini adalah bersifat hikmah, peringatan-peringatan serta perdebatan yang baik. Kebencian adalah semata kepada dosa yang dilakukan bukanlah kepada pelakunya kerana perbuatan yang dilakukan merupakan larangan Allah swt. Di dalam al-Quran, Allah swt juga turut mengancam orang-orang yang berbuat zina misalnya dengan hukum sebatan, orang-orang yang mencuri juga dihukum potong tangan sekiranya sabit kesalahan, lalu adakah ketika ini pihak Islam Liberal ingin mengatakan bahawa hukuman-hukuman sebegini menunjukkan kezaliman Allah swt? Sungguh, kita berlindung daripada menyifati Allah swt dengan suatu hal yang tidak layak sama sekali dinisbahkan kepadaNya.
Sifat kasih sayang Allah swt kepada hamba-hambaNya mengatasi kemurkaanNya. Segala hukuman yang ditetapkan bukanlah kerana Allah swt benar-benar ingin mengazab hambaNya namun sebagai peringatan agar mereka meninnggalkan perbuatan yang mungkar. Pelaksanaan hukuman hudud yang telah ditetapkan oleh Allah swt bukanlah satu perkara yang dapat dilakukan sewenang-wenangnya tanpa syarat dan aturan sebaliknya penuh dengan kehalusan dan ketelitian. Sekiranya Allah swt bertujuan menghukum para hambaNya, sudah tentulah kemaksiatan yang berleluasa di Malaysia ini telah mengundang azab yang amat pedih daripadaNya, namun segala azab dan siksaan itu ditangguhkan sehingga ke hari pembalasan agar hamba-hambaNya memiliki ruang untuk bertaubat memohon keampunan kepadaNya.
Oleh kerana kelonggaran prinsip halal dan haram serta pendekatan apologetical nature yang terus diamalkan dalam kalangan agamawan telah membuka ruang yang seluas-luasnya kepada golongan LGBT khususnya untuk mempraktikkan gaya kehidupan songsang mereka bahkan memaksa masyarakat untuk melihatnya sebagai satu hal yang normal atas nama kebebasan tanpa pendiskriminasian. Aktivis, Marina Mahathir menyatakan bahawa komuniti LGBT di Malaysia hanya menuntut hak kesamarataan dari sudut hak-hak asasi manusia seperti yang termaktub di dalam perlembagaan seperti hak mendapatkan pendidikan, rawatan kesihatan, pekerjaan, dan perlindungan tanpa diskriminasi. Namun, Noraini Ahmad berkata, Malaysia tidak pernah lagi menafikan hak-hak asasi mana-mana rakyatnya dalam menjalani kehidupan seharian. Akhirnya, baru-baru ini kita melihat kewujudan pelbagai kempen yang mempromosi amalan LGBT. Bermula dengan usul pemansuhan Seksyen 377A-D Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membincangkan tentang pengharaman liwat dan seks luar tabi’i yang dianggap bertentangan dengan hak kebebasan individu, ia akhirnya menjadi induk kepada kelahiran Festival Seksualiti Merdeka di Malaysia. 8 perkara yang menjadi tuntutan dasar kepada kelompok LGBT di seluruh dunia ialah:
Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) yang membuat tuntutan hak kebebasan orientasi seks pada Oktober 2013 dilihat seolah-olah tidak menghormati Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sekular meskipun lebih 60 peratus daripada penduduk Malaysia adalah jelas beragama Islam. Justeru, benih-benih kewujudan LGBT ini telah lama ditanam, namun nampaknya hari ini ia cuba disegarkan kembali ke dalam masyarakat dengan dakwaan bahawa kerajaan hari ini dilihat gagal bertindak tegas terhadap permohonan kelompok LGBT yang ingin diberi hak dan kebebasan mengamalkan gaya hidup songsang mereka sedangkan ianya jelas bertentangan dengan agama dan norma masyarakat.
Antara isu yang turut menjadi kontroversi setelah LGBT adalah isu khatam bayi perempuan di Malaysia yang dijalankan oleb umat Islam lazimnya dikatakan berkait rapat dengan Mutilasi Genitalia Wanita (FGM) yang diamalkan di Afrika. Oleh itu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mendakwa bahawa amalan berkhatan bayi perempuan yang dijalankan di Malaysia adalah sebagai pencabulan terhadap hak wanita. Walau bagaimanapun, Menteri Kesihatan Malaysia, Dzulkefly Ahmad menegaskan bahawa khatan bayi perempuan bagi umat Islam adalah sama sekali tidak sama dengan FGM. Penilaian Berkala Sejagat (UPR) yang telah dijalankan oleh PBB di Geneva turut menyentuh isu berkhatan bayi perempuan di Malaysia namun ia didakwa sebagai satu budaya.
Amalan berkhatan bukanlah sekadar budaya, namun ia merupakan praktik daripada kehidupan agama Islam. Sekiranya merujuk kepada mazhab al-Syafie, hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib menurut pendapatnya yang masyhur. Amalan berkhatan di dalam Islam ini digarisi panduan dan wajib dipastikan tidak berlaku kecacatan ke atas wanita. Justeru, kesalahan budaya bukan Islam dalam berkhatan seperti FGM yang dijalankan di Afrika dan kejahilan sebahagian pengendalinya tidak sepatutnya menjadi kayu ukur kepada amalan berkhatan dalam Islam.
Di samping itu, antara isu yang menjadi tumpuan pihak liberalisme
adalah pemansuhan hukum khalwat kerana dianggap mengganggu privasi dan ruang
peribadi individu. Kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri agama Malaysia,
Mujahid Yusuf Rawa berkenaan penyalahgunaan kaedah tangkap khalwat telah
dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sekaligus membuka ruang
kepada pihak Liberal untuk menjadikannya sebagai alasan yang beratas namakan
hak asasi manusia (HAM). Isu dosa peribadi dan dosa awam mula dibangkitkan
dengan anggapan bahawa permasalahan khalwat adalah hal yang berada di dalam
ruang lingkup individu dan tidak memudaratkan masyarakat umum.
Oleh: Hawa Dalila binti Md Fazil
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?