“Kemaskan ruangmu, ubah hidupmu” – mantra si kecil molek Marie Kondo
Marie Kondo kelahiran Jepun merupakan konsultan susunatur dan penulis. Menghasilkan 4 buku motivasi susunan hidup dan barangan yang terjual berjuta unit malah sudah diterjemahkan dari bahasa Jepun ke pelbagai bahasa termasuk Korea, Mandarin, Spanish, Indonesia, Perancis, German, Swiss, Portugis dan Bahasa Inggeris tentunya.
2 buku beliau yang mendapat perhatian adalah: Spark Joy – 2012 dan The Life-Changing Manga of Tidying Up: A Magical Story by Marie Kondo – 2017
Awal tahun 2019 namanya tiba tiba jadi terkenal setelah dibantu rangkaian penyiaran Netflix dalam siri Tyding up with Marie Kondo dan publisiti hebat melalui seminar seminar di negara Amerika. Sedangkan sebelum ini memang aktiviti berkemas dalam kehidupan seharian dituntut secara semulajadi dan ia bukanlah program baharu. Kamu masih ingat bukan siri Queer Eyes for Straight Guys? Dan dua nenek dari England dalam siri How Clean Is Your House?
Kebersihan dan kekemasan rumah memanglah dituntut secara azalinya. Rumah/tempat tinggal yang semak dan tidak kondusif selalunya hadir dengan sebab sebab fizikal pelbagai selain dari sifat peribadi pemilik atau penghuni. Kita pernah melihat suasana manusia yang OCD melibatkan sikap ‘menggumpul barangan dan tidak mahu berpisah’ Bukankah secara purata kita sudah diajar awal awal lagi akan hal kemas, bersih dan higenis?
Kalau belum sila renung renung kamar peribadimu sekarang.
Jadi dalam menilai kehebohan si Marie Kondo dan kegilaan terhadapnya buat masakini, hal hal berikut boleh diamati, mana tahu ia mampu jadi pemangkin pada tenaga yang bakal dicurahkan dalam menghasilkan ruang hidup yang lebih nyaman.
Cara susunan beliau dikenali dengan gelaran KonMari dan melibatkan pengumpulan semua barang kepunyaan, satu kategori pada satu masa, kemudiannya hanya menyimpan mana mana yang merecikkan bahagia “spark joy” (ときめ) tokimeku dalam bahasa Jepun bermaksud membawa ‘getar, degup, debar’ seterusnya memilih tempat simpanan untuk setiap satu. (bekas yang istimewa, mudah dilihat, lipatan yang tepat dan apa sahaja asalkan masih membawa sinar.
Kaedah KonMari sebenarnya adalah bacaan suasana minda – cara hidup – menggalakkan penghargaan pada barangan yang merecikkan bahagia dalam hidup seseorang. Barangan kepunyaan yang diperakui akan khidmatnya – dan diterima kasihkan sebelum di ketepikan, sekiranya tidak lagi mampu merecikkan sinar.
Untuk diiktirafkan sebagai Konsultan KonMari, ada seminar yang boleh dihadiri, latihan mengemas dengan 2 klien, dan ujian bertulis. Langkah langkah ditetapkan oleh pihak Pertubuhan Marie Kondo termasuklah sejumlah nilai yuran kursus, 2 buku penting (The Life-Changing Magic of Tidying Up dan Spark Joy) harus dibaca dan ujian ujian kelayakan termasuklah lawatan ke rumah bakal sang pengamal konsultan KonMari. Khabarnya dengan hanya melihat susunan gambar di kamar tidur kamu sahaja mereka mampu menilai samada kamu layak menjawat jawatan sebagai konsultan KonMari.
Sebelum menemui kisah kehebatan KonMari sebenarnya sejak bulan November 2018 saya sudah mula mengemas rumah. Sudut sudut yang terbiar (kerana sibuk menyiapkan 2 novel baharu dan mengedit beberapa artikel). Jadi secara peribadi sudah saya mulakan perlahan lahan dengan menumpukan pada bilik utama, bilik kedua, 2 kamar bilik mandi, kawasan meja makan, ruang tamu… Sementara almari sentiasa dikemaskan 3 kali setahun (sambil meninggalkan dunia fesyen yang merapu).
Memasuki bulan Januari apabila melihat kehebohan Kaedah KonMari perasaan teruja menerjah. Menilai komentar tentang berapa buah buku harus ada dalam sesebuah rumah (cadangan si Marie adalah 30 buah buku sahaja, namun boleh berubah…) dan sesekali menggunakan frasa ‘spark joy’ untuk jenaka jenaka ringan dalam kehidupan sosial. Rasa sayang dan nostalgia yang mampu menjadikan seseorang itu hoarders perlahan lahan ditinggalkan dengan dada yang sangat lapang.
5 bungkusan plastik hitam pakaian yang tidak disentuh, tidak diminati, berubah saiz sudah didermakan. Pinggan mangkuk yang melebihi keperluan pergi pada mereka yang lebih memerlukan. Bekas bekas plastic seperti timba, tikar, paip getah, balang balang kuih dan perhiasan yang tidak punya fungsi lagi diketepikan dalam bungkusan, diletakkan di tempat pembuangan elok elok agar boleh digunakan oleh mereka yang menjana pendapatan melalui proses kitaran semula.
Tidaklah penuh dramatik didakap barangan dan berdoa apa apa, cuma setiap mengambil keputusan barangan dilihat, dinilai dalam diam dan di ketepikan dengan hati yang terbuka.
Terus terang ia sangat melegakan jiwa.
Secara peribadi saya fikir untuk memperolehi ruang hidup yang lega dan kondusif berberapa hal di bawah boleh diambil kira:
Dari waktu ke waktu proses mengemas dan membersih wajib dilakukan, ia dijadikan habit dan tidaklah kita taksub pada kaedah KonMari semata mata. Dalam menjalani hidup banyak hal yang mungkin terlepas pandang. Permaidani yang menggumpulkan habuk, bunga bunga perhiasan yang hilang seri, pinggan mangkuk berserpih yang tidak layak digunakan lagi bila menjamu selera dan seribu satu macam lagi hal hal material yang tidak lagi perlu ada… apa yang tinggal hanyalah kenangan.
Saya fikir di dalam kamar penyimpanan harus ada 3 kotak:
Jangan lupa, ada barangan yang boleh menjana wang. Dijual pada mereka yang berminat di sesawang internet atau di pasar lelong. Hari ini cuba tanya diri berapa banyak kasut kita perlukan? Baju baharu yang tergantung itu bila masa mahu kita gayakan? Berapa kali sudah kita pakai? Tas tangan yang sudah melebihi jumlah yang diperlukan oleh sang sosialita. Perasaan kita terhadap pada setiap barangan yang terkumpul itu bagaimana?
Dalam bersosial pula kita sinis mengatakan,”ahh!!! Dia sudah saya konMarikan …ya kerana sudah tidak memerecikan sinar lagi…!”
Oleh: Regina Ibrahim
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?