Segalanya bermula selepas secara tidak sengaja apabila saya menghabiskan bacaan naskhah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.
Timbul persoalan, bagaimana mungkin seorang ulama, ahli tafsir, tokoh gerakan Islam, penjawat jawatan tertinggi keagamaan menulis novel!?
Novel pula tema cinta, lebih tepat kasih tak sampai. Masyhur disebut sebagai roman. Bahkan pengarangnya, Prof Dr HAMKA pantas digelar Kiyai Roman.
Hampir 15 buah karya Buya HAMKA berbentuk prosa iaitu novel dan cerpen, dan sebahagian puisi/sajak beliau yang mencapah dalam hampir 120 buah karya beliau itu.
Apakah Buya HAMKA sengaja beroman-roman dengan matlamat yang juga sama dengan karya keislaman beliau yang lain iaitu dakwah? Menyampaikan dakwah Islamiah dan kritik sosial terhadap orang Minang, orang Melayu, orang Nusantara dan Muslim setepatnya?
Melalui cereka atau cerita rekaan yang berunsur roman… kisah cinta yang tragis. Setragis tatkala Zainuddin tidak mahu menerima lagi Hayati yang sudah dibuang suaminya itu.
Apakah Islamnya sastera HAMKA apabila Hayati yang sudah terbujur kaku ditatap sesal oleh Zainuddin lantas dikucupnya bibir Hayati yang sudah tidak bernafas itu?
Persoalan-persoalan tersebut lantas menyebabkan saya semakin galak mencari dan membaca wacana seputar Sastera Islam, bahan-bahan terbitan DBP dan para sasterawan, kritikus sastera dan sarjana sastera yang ligat di blog masing-masing saya telaah satu persatu (masa itu FB baru nak up di Malaysia).
Ia membawa saya mengenali pengarang generasi 90an dan ke atas yang majoritinya adalah bekas didikan MPR (Minggu Penulis Remaja) yang bermula sejak 1985. Hasil karya generasi ini sudah tidak dipisahkan antara Sastera Melayu Konvensional dan Sastera Melayu Islam.
Ketika itu juga fenomena Ayat-ayat Cinta, novel dan kemudian filemnya sedang membara di Malaysia. Wacana Sastera Islam hangat semula sedikit, namun tidak sehebat era pertengahan 70an dahulu pasca syarahan pengukuhan keprofesoran Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas tahun 1972.
Saya sendiri mula berjinak menulis cerpen, puisi dan menyimpan angan untuk menulis novel. Selepas berkhidmat sebagai eksekutif editor di PTS saya mendapat lebih banyak peluang menerbitkan karya sehingga berjaya menerbitkan beberapa novel dengan PTS.
Puisi, cerpen dan esei saya mula diterbitkan juga oleh Tunas Cipta, Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Harakah, Siasah, Dewan Sastera, meskipun tidaklah dalam jumlah dan kualiti yang membanggakan.
Menariknya, pengerusi PTS Puan Ainon Mohd. yang aktif melalui laman web ‘Universiti Terbuka PTS’ banyak juga menyinggung isu seputar Sastera Islam dan Sastera Konvensional malah mula mengemukakan idea yang beliau jana daripada hasil pemerhatian hampir 30 tahun tentang model sastera yang Islamik berdasarkan analisis bebas beliau terhadap Surah Yusuf.
Sebagai seorang sarjana bidang linguistik dan aktivis kemanusiaan sekali gus pemain industri buku berbahasa Melayu di Malaysia selain bekas karyawan kanan DBP bahagian terjemahan, segala pandangan dan kritikan beliau agak dipandang sama ada dengan pandangan yang manis atau pahit.
Bagaimana pula dengan anda? Wujudkah sastera Islam pada pandangan anda?
Oleh: Zahiruddin Zabidi
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?