Perjalanan panjang membelah lebuh raya utara – selatan seharian ini, memberi ruang untuk saya tekuni sebuah buku tulisan anak muda bibliofil yang cenderung membaca karya-karya sastera.
Catatan pengalaman kecintaan terhadap dunia perbukuan berjaya disampaikan dengan gaya bahasa yang tidak berat dan mudah difahami. Pembaca tidak perlu membaca berkali-kali untuk memahami sesuatu kalimat.
Ulasan karya buku-buku pilihannya yang turut dimuat dalam judul ini menunjukkan penulis mula membaca karya-karya besar pada usia awal 20-an yang mungkin meletihkan bagi sebahagian pemuda seusianya.
Misalnya, buku ‘Dilema Umat Islam: Antara Hadis dan Quran’ (Kassim Ahmad), ‘Ibu Melayu Mengelilingi Dunia: Dari Rumah ke London’ (Tan Sri Aishah Ghani), ‘Hujan Pagi’ (A. Samad Said), atau ‘Naratif Ogonshoto’ (Anwar Ridhwan).
Dalam usia semuda itu, mungkin ada baiknya penulis membaca novel-novel cinta sohor kini yang asyik dan galak didramakan. Malah, saya sendiri pun lelah ketika membaca ‘Naratif Ogonshoto’. Kalau bukan kerana perlu menyediakan kertas kerja, barangkali tidak habis dibaca juga.
Selain genre motivasi, saya fikir Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi ini mampu digolongkan dalam koleksi bergenre ‘buku bicara buku’ memandangkan sebahagian besar kandungan berkisar tentang buku.
Melalui buku-buku yang dibaca dan diulas kritis oleh penulis, tidak ragu-ragu untuk saya katakan bahawa penulis yang masih muda ini punyai pemikiran besar.
Tahniah!
Buku Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi boleh dibeli melalui pautan ini:
https://jejaktarbiah.com/kedai/aku-mahu-membaca-1000-tahun-lagi/
Oleh: Luqman Hidayat
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?