Penjelasan tentang bangsa Melayu dapat membantu kita untuk mengenali dan memahami hal-hal yang berkaitan dengan orang Melayu dan budayanya bagi menentukan asal usul keturunan dan budaya masyarakat Melayu. Perkataan Melayu sinonim dengan merujuk ‘The Malay Archipelago’ (Kepulauan Melayu) yang merangkumi kepulauan di Asia Tenggara. Ia dikaitkan dengan bangsa yang tinggal di kepulauan Melayu, beragama Islam, menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda, mengamalkan adab budaya Melayu dan berkulit coklat atau sawo matang. Perkataan Melayu berasal daripada Sanskrit yang disebut sebagai ‘Malai’ iaitu merujuk kawasan tanah daratan yang dikelilingi lautan.
Tempat tinggal atau rumah dahulunya didirikan adalah untuk memenuhi keperluan hidup manusia semata-mata. Yakni ia dibina sebagai tempat perlindungan daripada cuaca panas, hujan dan mengelakkan daripada gangguan musuh seperti binatang buas. Merujuk kepada Hirarki Maslow, tempat tinggal merupakan keperluan yang ketiga terpenting dalam hidup manusia selepas makanan dan pakaian. Dahulunya, pembinaan penempatan orang Melayu kebanyakannya di pinggir sungai dan di kawasan pendalaman. Ini kerana sumber hutan seperti buluh, rotan, balak, rumbia dan jenis-jenis kayu-kayan lain mudah untuk mereka perolehi untuk mereka jadikan tiang rumah, lantai, dinding dan atap. Kebanyakan tumbuhan ini tumbuh meliar didalam hutan dan di kawasan tepi sungai. Tukang rumah memanfaatkan sepenuhnya sumber hutan untuk pembinaan rumah. Kayu keras seperti balak, cengal dan meranti dijadikan tiang rumah, buluh digunakan untuk membuat lantai serta dinding dan daun nipah dianyam sebagai atap rumah.
Demikian juga dengan pembinaan istana, tukang rumah yang sama yang memiliki kepakaran yang sama membina istana dan rumah-rumah orang kampung. Maka, wujudlah persamaan rupa bentuk dan kesenian setiap senibina orang Melayu di zaman dahulu. Dalam pada itu, orang Melayu juga amat terkenal dengan budaya dan falsafah kehidupan. Hal ini diakui melalui gaya hidup orang Melayu yang mempunyai hubungan rapat dengan alam semesta.
Reka bentuk kesenian Melayu dikaitkan dengan perkataan komunikasi iaitu interpretasi atau luahan seniman terhadap seni. Dalam konteks ini, terdapat tiga proses penting untuk menghasilkan reka bentuk seni iaitu melalui proses melihat, memerhati, memikir membuat dan melaksana. Reka bentuk selalunya mempunyai kaitan dangan fungsi gunaan dan fungsi hiasan.
Keunikan nilai estetik yang jelas pula ditonjolkan dalam senibina orang Melayu melalui ragam hiasnya yang berbentuk anyaman buluh atau dikenali kelarai. Kelarai merupakan proses anyaman yang dijalin untuk menghasilkan suatu gaya atau ragamhias yang menarik sebagai motif utama. Kelarai diubah samada secara disusun tunggal ataupun disusun dalam ruang tertentu sehingga menghasilkan gaya atau ragamhias tertentu. Pembentukan kelarai dilakukan serentak semasa proses anyaman. Anyaman kelarai biasanya dirancang terlebih dahulu dengan menggunakan ‘mata’ atau ‘langkah’ bagi mewujudkan pelbagai jenis kelerai. Lazimnya, dua warna yang berbeza digunakan untuk mendapatkan hasil yang menarik pada anyaman kelarai.
Terdapat pelbagai nama unik kelarai yang diilham daripada motif flora, fauna, nama manusia dan abstrak. Contohnya kelarai daripada motif flora seperti Bunga Cengkeh, Pucuk Rebung, Tampuk Pinang, Bunga Tanjung, Bunga Melor, dan Bunga Teratai. Manakala kelarai motif fauna pula ialah Mata Bilis, Siku Keluang, Sisik Ikan, Tapak Harimau, Kepala Gajah, Tapak Anjing, dan Kelarai Mata Lalat. Seterusnya kelarai yang dinamakan semperna nama manusia adalah Kelarai Cik Kedah Berakar, Cik Kedah Bersila, Cik Kedah Ketapang, dan Kelarai Mak Mek. Bagi kelarai bermotif abstrak, pelbagai sumber nama diberikan berdasarkan pengamatan tukang anyaman tersendiri seperti Kelarai Anyaman Gila, Kelarai Berhati, Kelarai Gelong Paku, Kelarai Empat Sebilik, Kelarai Kisar Mengiri, Kelarai Madu, Kelarai Putus Masa, dan Kelarai Tak Bernama. Kelarai ini dijadikan ragamhias seni bina orang Melayu pada empat struktur asas yang melibatkan elemen atap, dinding, pintu dan tingkap.
Masa kini, seni bina orang Melayu sudah hilang kekuatan jati diri Melayu. Nilai Melayu pada senibina tidak terpamer lagi apabila kukurangan minat, tenaga mahir dan pengetahuan untuk mengendalikan sumber alam seperti buluh pada seni bina. Kesenian orang Melayu akan terkubur seandainya warisan turun temurun ini tidak diwarisi dan dipelihara. Sedangkan orang Melayu patut berbangga dengan budaya dan falsafah orang Melayu yang sangat unik dan mampu diterjemah pada seni bina orang Melayu. Senario ini hanya berlaku dalam masyarakat orang Melayu sahaja dan tiada dalam budaya masyarakat lain sepeti Cina dan India.
Al-Quran dan hadis banyak menyebut akan kegunaan tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di sekeliling kita. Kepentingan tumbuh-tumbuhan ini bukan sahaja memberi manfaat kepada manusia malahan pada makhluk lain seperti haiwan juga. Setiap agama dan kepercayaan di dunia ini mempunyai panduan tertentu dalam menjelaskan hubungan manusia dengan alam sekitar. Rentetan itu, kesedaran akan hubungan manusia dengan alam boleh dilihat melalui manfaat buluh dalam sosiobudaya orang Melayu. Allah telah berfirman:
“Maka hendaklah manusia itu memerhatikan makanannya. Sesungguhnya Kami telah benar-benar mencurahkan air dari langit. Kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya. Lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu. Anggur dan sayur-sayuran. Zaitun dan pohon kurma. Kebun-kebun (yang lebat) dan buah-buahan serta rumput-rumputan untuk kesenangan dan binatang-binatang ternakmu”, (Surah: 80, ayat 24 hingga 32).
Rasulullah s.a.w. turut bersabda:
“Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan”.
Jelas sekali manusia harus sedar bahawa nikmat bumi yang didiami ini merupakan pemberian Allah s.w.t. Setiap makhluk yang diciptakanNya perlu berinteraksi antara satu sama lain. Alam adalah ciptaan dan anugerah dari Allah kepada makhlukNya. Sesungguhnya simbolik yang jelas boleh dilihat adalah manifestasi keagungan Allah s.w.t. dalam kewujudan ciptaanNya. Hal ini juga telah diperjelaskan secara nyata di dalam al-Quran dan hadis. Hanya manusia yang berfikir sahaja akan terasa nikmat kesyukuran atas pemberiaan ini. Manakala dengansejarah, manusia tahu asal usul kehidupan dan dapat mengenal Maha Pencipta.
Oleh: Mariam Idris
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?
mariamidris says:
Insya-Allah. Jazakallahu khairan khathira.
Wan says:
Satu informsi yang bagus..perlu diteruskan
mariamidris says:
Insya-Allah. Jazakallahu khairan khathira.