Bumi nusantara ini tidak kurang hebatnya seperti Timur Tengah dalam melahirkan para ulama. Biarpun kedudukan nusantara jauh beribu batu dari Kota Mekah, di mana lahirnya baginda Rasulullah SAW, tapi, ia bukanlah penghalang untuk sinar Islam sampai ke sini.
Pada abad ke-19, semakin ramai jemaah haji dari nusantara bermusafir ke Mekah untuk menunaikan haji. Tidak seperti hari ini di mana para jemaah haji hanya perlu menaiki kapal terbang serta mengambil masa yang singkat untuk sampai ke Mekah. Jemaah haji pada abad ke-19 kebanyakannya kebanyakannya menaiki kapal untuk ke sana. Perjalanan yang memakan masa berbulan-bulan lamanya menjadikan mereka tidak segera ingin pulang ke Tanah Air sesudah habis mengerjakan haji. Sebaliknya, mereka akan menetap beberapa lama untuk menimba ilmu agama di Tanah Suci. Begitu juga dengan jemaah yang sampai awal sebelum musim haji, masa-masa mereka turut diisi dengan pengajian agama di Mekah. Tidak hairanlah, abad ini juga menyaksikan kemuncaknya keahlian ulama yang berasal dari nusantara.
Antaranya, Kiai Nawawi yang berasal dari Banten dilantik sebagai Ketua Ulama Haramain (Sayyid Ulama’ Hijaz). Selain itu, Kiai Ahmad Khatib yang berasal dari Minangkabau pula dilantik sebagai Imam Masjidil Haram. Beliau juga menyandang jawatan mufti bagi mazhab Syafi’i di sana.
Sememangnya, ulama dari nusantara lebih dikenali dalam kalangan lelaki. Tapi, tak ramai yang tahu bahawa wujud seorang ulama hadis perempuan dari Palembang di Mekah pada waktu itu. Malah, ulama perempuan inilah yang menjadi guru kepada Kiai Nawawi
.
Menurut sebuah tesis bertajuk ‘Peranan Perempuan dalam Melestarikan Kitab Shahih Bukhari dan Shahih Muslim dari Abad ke-4 sampai 14 H’ yang ditulis pada tahun 2010 oleh Shafiyya Idris Fallati dari Universiti Jordan, hanya terdapat tiga orang ulama hadis dalam kalangan perempuan pada abad ke-19. Pertama, Syaikhah Ummatullah ad-Dahlawi dari India, kedua Syaikhah Fatimah binti Abd Shamad berasal dari Palembang-Indonesia dan ketiga, Syaikhah Fatimah bin Ya’qub berasal dari Mekkah. Sosok ini kekal misteri sehingga ke hari ini. Walaubagaimanapun, dikatakan pada tahun 1950-an, seorang ulama iaitu Habib Salim bin Jindan pernah berkunjung ke Palembang dan menemui sebuah kitab karangan Syeikhah Fatimah yang bertajuk ‘al-Faharis al-Qaimah fi Tsabat Sitti Fatimah’. Sayangnya, kitab tersebut tidak ada salinan dan masih belum ditemui oleh sesiapa pada hari ini. Jejak ulama perempuan ini hanya terakam dalam sanad hadis dalam kitab al-‘Iqd al-Farid min Jawahir al-Asanid karya Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani. Beliau meriwayatkan hadis sahih Bukhari dari gurunya Syeikh Abdul Karim bin Ahmad Khatib dari gurunya Syeikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Khatib dari gurunya Syekh Nawawi bin Umar al-Bantani dari gurunya Syaikhah Fatimah binti Abd Shamad al-Falimbani dari gurunya (ayahnya) Syekh Abdul Shamad al-Falimbani dari gurunya Syekh Aqib bin Hasanuddin Al-Falimbani dari gurunya Syekh Tayyib bin Jaa’far al-Falimbani dari gurunya Syekh Jaa’far bin Badruddin al-Falimbani. Selepas itu, barulah sanad hadisnya bersambung dengan ulama-ulama Timur Tengah hingga sampai ke Imam al-Bukhari.
Hanya setakat itu sahaja maklumat tentang ulama hadis perempuan dari nusantara ini. Andai kata kitab tulisannya ditemui semula, pasti hari ini kita semua dapat membaca pemikirannya serta sumbangan beliau dalam bidang hadis selain daripada apa yang telah dicatatkan dalam penulisan ini.
*Artikel ini adalah hasil olahan dan suntingan daripada artikel asal di https://www.republika.co.id/berita/dunia-islam/khazanah/20/01/31/q4ya4g385-fatimah-alfalimbani-ulama-hadits-perempuan-yang-terlupakan
-Maisarah Mohd Pauzi
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?