fbpx
Penghantaran Percuma untuk pembelian melebihi RM199
RM0.00 0

Cart

No products in the cart.

UTAMA
JT & JIWA
CARI
RM0.00 0

Cart

No products in the cart.

Continue shopping
TROLI

Guru Aini: Cerita Hebat dan Luar Biasa Matematik

“Karena Pak Tabah sendiri dulu yang bilang, katanya matematika adalah ibu fisika, kimia, komputer, biologi, dan kedokteran….,” kata Aini. 

“Maksudmu?!”

“Maksudku, mulai sekarang aku harus pandai matematika karena aku mau menjadi dokter ahli, Diah, supaya aku bisa mengobati ayahku”

Halaman 81

Banyak faktor dan pendorong yang boleh menjadi sebab kejayaan seseorang. Tiada kejayaan tanpa usaha yang gigih dan tanpa mengenal rasa putus asa. Itulah yang mahu disampaikan oleh penulis Laskar Pelangi ini, Andrea Hirata melalui novelnya – Guru Aini. Menulis novel yang bertemakan pendidikan dan perguruan bukanlah perkara baru buat Andrea Hirata. Dan melalui novel ini, pembaca dihidangkan dengan pelbagai kisah suka, duka, komedi, kekeluargaan dan persabahatan, yang kebanyakkannya turut mencerminkan warna sebenar dalam dunia pendidikan dan pembelajaran. 

Foto: Andrea Hirata (oleh: Tia Agnes)

Ramai orang mengatakan menjadi guru itu mudah – merancang aktiviti pembelajaran, menyediakan soalan kerja rumah dan selepas itu menyemak pula hasil kerja murid-murid. Tetapi memahami, menghayati dan melaksanakan tanggungjawab sebagai guru itu yang mencabar. Hendak berjumpa guru yang benar-benar ikhlas dalam melaksanakan kerjanya dan mencintai tugasnya – satu dalam seribu. Apatah lagi menjadi guru matematik, mengajar murid yang corot dan dan keciciran dalam subjek itu. 

Watak utama novel ini ialah Aini, seorang pelajar sekolah menengah yang bergelut dengan masalah pembelajaran, terutama matematik. Aini dan kawan-kawannya hidup dalam kemiskinan, di sebuah kepulauan yang terpencil dan jauh dari pembangunan kota. Ibu bapa Aini tidak bersekolah tinggi, jadi tiada dorongan untuk Aini belajar dengan tekun untuk berjaya. Tetapi suatu peristiwa besar telah terjadi yang menyebabkan hala tuju hidup Aini berubah 360 darjah. Aini berubah menjadi seorang yang amat bercita-cita tinggi untuk berjaya dalam hidup. Dan antara impian tertinggi Aini ialah menjadi seorang doktor. Untuk menempah laluan menjadi doktor, Aini terlebih dahulu perlu menguasai ilmu matematik. Dan ianya menjadi mustahil kerana Aini sememangnya lemah matematik dari dahulu lagi. 

Aini sedar satu-satunya cara untuk dia menguasai ilmu matematik ialah dengan belajar dari guru matematik paling terkenal di seluruh kampungnya, Guru Desi. Guru Desi dikenali sebagai seorang guru yang amat tegas, garang dan amat sensitif. Aini harus meyakinkan Guru Desi untuk menerimanya belajar di dalam kelasnya bersama-sama dengan pelajar lain yang telah jauh mahir dalam ilmu Matematik. 

Kisah hebatnya bermula dari sini. Andrea Hirata berjaya menonjolkan watak Aini, seorang pelajar yang tidak mudah patah semangat dan saya cukup mengagumi watak ini. Aini asalnya cuma pelajar biasa – pagi ke sekolah, petang membantu ibunya berniaga dan suka menghabiskan masa lapangnya dengan sahabat-sahabat baiknya. Susunan karakter Aini berubah, dari seseorang yang tidak memikirkan masa depan menjadi seorang yang amat serius dalam mencapai cita-citanya. Aini mengharungi pelbagai ujian dan kesukaran untuk meyakinkan Guru Desi supaya menerimanya. Beberapa kali Aini hampir putus asa, kemahuannya ditolak berkali-kali, dipandang rendah, tetapi sedikitpun tidak melunturkan semangat Aini. Andrea Hirata menyusun kisah-kisah rentetan yang amat menarik, mudah difahami, terselit beberapa adegan lucu yang turut bisa membuatkan saya tersengih-sengih seorang diri. 

 

 

 

 

 

 

Saya turut kagum dengan Guru Desi. Bagi saya, Desi wanita hebat. Datang dari keluarga yang berada, bersifat eksentrik, tetapi idealisme. Kerana itu, Desi menyahut cabaran untuk berhijrah ke pulau yang jauh demi mengajarkan ilmu matematik kepada pelajar-pelajar luar bandar. Amat jarang berjumpa dengan guru-guru yang bersemangat kental sebegini. Andrea Hirata menggambarkan watak dan keperibadian Guru Desi dengan baik sekali melalui pelbagai peristiwa menarik. 

Bagi saya, novel ini telah banyak memberikan input dan kesedaran tentang betapa pentingnya ilmu pengetahuan di dada, sekaligus mengetengahkan bahawa ilmu Matematik ini sebenarnya sangat seronok sekiranya diterokai dengan lebih meluas. Dari Matematik akan datangnya penguasaan terhadap cabang ilmu-ilmu yang lain, sekaligus memungkinkan kejayaan yang lebih besar buat seseorang.

“Matematika adalah cara berlogika, karena itu Matematika dapat membangun struktur berpikir. Asumsi yang diletakkan untuk menjaga validitas sebuah formula, asumsi, fleksibilitas dan keluasan jangkauan rumus itu akan mengajari kita banyak hal dalam proses pengambilan keputusan. Belajar biologi, geografi, ekonomi, bahkan bermain musik, bisa saja dengan pendekatan cara berpikir matematika.”

Halaman 235

Kekuatan ilmu matematik juga boleh membawa kepada kekuatan pemikiran dan ingatan. Kekuatan pemikiran pula haruslah seiring dengan kekuatan fizikal. Sebagaimana saranan Guru Desi meminta Aini berlari ke rumahnya setiap petang untuk hadir ke kelas tambahan khas untuk Aini. Andrea Hirata melakarkan babak ini secara lucu tetapi dalam nada seorang guru yang tegas.  

“Kalau ke rumahku, tinggal sepedamu di pinggir jalan raya sana, lalu berlarilah ke rumahku, sekencang-kencangnya macam dikejar iblis. Pulangnya juga kau berlari sekencang-kencangnya, macam dikejar iblis.”

Halaman 238

Saya memuji cara Andrea Hirata menyusun turutan cerita-cerita yang menarik yang menunjukkan isi kandungan penting dalam novel ini – belajar matematik tanpa rasa jemu dan sentiasa berusaha mencari cara dan kaedah baru dalam pembelajaran. Pertukaran babak ke babak lain disusun dengan kemas supaya pembaca tidak ‘lost’ dan sentiasa berada dalam penceritaan matematik itu sendiri. Bagaimana seorang guru yang sudah pakar matematik mengajar subjek itu kepada pelajar yang jauh keciciran, dan bagaimana pula watak seorang bapa (Debut Awaludin) yang juga mahir matematik mengajar subjek itu kepada anaknya dalam suasana perniagaan. 

Andrea Hirata turut meninggalkan beberapa persoalan di benak saya, seusai membaca novel ini. Malah, beberapa kali saya mengulang kembali kepada beberapa bab demi mencari jawapan kepada soalan tersebut. Saya masih tertanya-tanya sebab musabab utama, mengapa pelajar genius matematik, Debut Awaludin memilih untuk menjadi pelajar corot matematik sedangkan dia ialah seorang yang cemerlang matematik, asalnya. Di akhir novel ini, saya turut menumpang rasa kekesalan dan kekecewaan yang dihadapi Aini. Ya, Aini kecewa akhirnya, tetapi masih belum jelas, apakah punca kekecewaan Aini (saya nyatakan di sini, begini kerana tidak mahu condong kepada isu-isu kerajaan dan politik di Indonesia). Apa-apapun, persoalan ini saya yakin akan terjawab bila membaca kesinambungan kisah ini dalam novel Orang-Orang Biasa. (Novel Guru Aini ini adalah prekuel kepada novel Orang-Orang Biasa yang telah pun diterbitkan pada tahun 2019.)

Buat pembaca yang pertama kali mencuba membaca bahan bacaan dari Indonesia, cubalah baca dengan hati yang terbuka. Mungkin ada beberapa istilah yang kurang difahami tetapi tidak perlu risau kerana jalan ceritanya masih dapat ditangkap dan difahami. Untuk mencari maksud istilah dan perkataan, guna sahaja Google – sumber segala maklumat. Membaca menjadi lebih menyeronokkan dan kita pasti akan sentiasa mahu tahu jalan cerita seterusnya. 

Melalui novel ini, amat jelas Andrea Hirata cuba mengetengahkan beberapa elemen penting dalam kehidupan – JANJI, PENGORBANAN, KEYAKINAN, KETEKUNAN. Setiap janji yang telah dibuat haruslah dikotakan dan dipegang. Tiada kejayaan yang akan datang bergolek tanpa adanya pengorbanan, keyakinan dan ketekunan. Tiada yang mustahil boleh dicapai oleh seseorang sekiranya seseorang itu sentiasa tekun dalam melaksanakan sesuatu. Keyakinan dan pengorbanan yang dilakukan pasti akan terbayar juga suatu hari nanti. 

Bacalah novel Guru Aini sekiranya anda sedang mencari kekuatan dalam melakukan sesuatu yang anda tidak mahukan. Kadang-kadang manusia diberikan pilihan yang langsung tidak diingininya, tetapi tidak ada jalan lain melainkan terpaksa merempuh tembok-tembok yang menghalang. Meresapi semangat dan kekuatan Aini dan Desi, pasti hati dan jiwa kita akan turut terkesan. Saya bakal memulakan pembacaan novel Orang-Orang Biasa edisi Malaysia selepas ini (walaupun saya sudahpun membaca edisi asalnya). Apa yang saya harapkan saya bakal ketemu semangat yang lebih kuat dan teguh, seteguh kekuatan seorang Aini dan seorang Desi.

 

Disediakan oleh,

Norhasiah Mohd Akhir

    Leave a Reply

    Kenapa anda perlu membeli dengan kami?

    PENGHANTARAN PANTAS
    Tempahan anda akan diproses pada hari yang sama jika dibuat sebelum tengah hari.
    BUKU TERBAIK & BERKUALITI
    Buku-buku terbitan kami hanyalah yang terbaik dan berkualiti. Disaring mengikut keperluan semasa.
    PEMBAYARAN SELAMAT 100%
    Pembayaran boleh dibuat secara FPX / MasterCard / Visa melalui pelbagai jenis bank.

    Mari sertai komuniti buku kami agar anda tidak terlepas peluang info terkini.

    Selamat datang ke Kafe Buku Paling Sempurna, JEJAK BUKU & KOPI.

    Kombinasi sempurna antara rasa kopi dan pastri yang lazat dengan ratusan judul buku pelbagai genre.

    Nikmati WiFi percuma dan ruang duduk yang selesa untuk anda bersantai bersama keluarga atau menyiapkan tugasan di sini.

    Jemput datang ke JEJAK BUKU & KOPI di Bandar Puteri Bangi.

    Inginkan ruang khas ?

    Co-working space   l   Seminar   l   Kelas   l   Wacana   l   dan lain-lain ?

    Bintang Tanpa Nama.

    Bintang tanpa nama, barangkali begitulah kita dalam hidup seseorang. Bersinar dan wujud tetapi tidak didendang. Terpulang – dan demikianlah Ilham dan Aya yang menjadi bintang sesama sendiri.

    Di kota sederhana Kuantan, Aya menelusuri hari-harinya sebagai seorang peguam jenayah ditemani Ilham, lelaki yang pernah disukainya. Ilham, penyeduh kopi di kafe ‘Kita, Usai’ punya cerita tersendiri di sebalik senyumannya yang penuh tawa dan terkadang lara.

    Sejak mereka bertemu kembali, fasa demi fasa ditempuhi dalam waktu yang singkat – kehilangan, kemaafan, persahabatan, kekeluargaan dan cerita silam yang sentiasa melingkari hidup mereka berdua.

    Siapakah yang akan menyakiti dirinya sendiri? Aya atau Ilham? Entahlah, mungkin kamu juga. Orang yang sering membuka ruang untuk disakiti.