Hari ini saya membelek-belek kembali album kenangan kembara saya ke Jakarta untuk menyaksikan temasya pembukaan Sukan Asia 2018. Suatu pengalaman yang pasti tidak akan saya lupakan seumur hidup saya. Benarlah kata orang, “Jauh perjalanan luas permandangan.”, sesungguhnya pengalaman menyaksikan sendiri secara dekat temasya yang gah seperti ini tidak boleh dibeli mahupun diganti; akan kekal terpahat dalam memori saya sampai bila-bila. Oleh sebab itulah, sehingga ke hari ini saya masih lagi menatap kepingan-kepingan memori yang tersimpan dalam album kembara saya itu. Namun tujuan penulisan saya ini bukanlah mahu menceritakan perjalanan saya ke sana semata-mata. Ada kekaguman terhadap rakyat Indonesia di sebalik penganjuran Sukan Asia 2018 yang perlu saya ceritakan. Semoga tulisan ini menjadi iktibar dan inspirasi buat kita rakyat Malaysia contohi.
Sedari dulu lagi, saya sememangnya mengkagumi semangat dan jati diri masyarakat Indonesia. Pada saya, mereka punya semangat nasionalisme yang menebal dan luhur. Rasa kecintaan mereka kepada negara bukanlah retorik atau sekadar di bibir cuma, tetapi mereka membuktikannya dengan tindakan. Semangat kebangsaan mereka itu menyusup dalam segenap hal, termasuklah dalam hal penganjuran Sukan Asia 2018. Suka untuk saya mengajak pembaca untuk melihat bagaimana mereka menyelitkan ideologi bahasa kebangsaan mereka dalam penganjuran temasya tersebut.
Setahun sebelum penganjuran Sukan Asia 2018 di Jakarta, iaitu pada tahun 2017 berlangsungnya temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur. Sebagai orang yang suka berjalan melihat dunia dan menyaksikan temasya, saya turut tidak melepaskan peluang menyaksikannya, lebih-lebih lagi temasya tersebut diadakan di tanah air sendiri. Dari situlah saya dapat melihat perbezaan antara kita dengan mereka dalam hal meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa teratas.
Saat membelek semula kepingan-kepingan kenangan kembara yang tersimpan di dalam album kembara saya hari ini, perhatian saya tertarik kepada kedua-dua keping tiket bagi kedua-dua temasya tersebut yang saya letakkan bersebelahan.
Persamaan kedua-dua temasya ini ialah diadakan di bumi yang mana majoriti penduduknya bertutur dalam bahasa Melayu (atau bahasa Indonesia jika di Indonesia) dan kedua-dua negara ini menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaannya. Kedua-dua temasya ini juga merupakan acara peringkat antarabangsa yang turut disertai oleh atlet-atlet yang tidak bertutur dalam bahasa Melayu. Di sinilah ketegasan dan prinsip nasionalisme Indonesia terserlah. Meskipun temasya Sukan Asia merupakan acara peringkat antarabangsa, tetapi bahasa kebangsaan mereka tetap mereka pelihara dan letakkan sebagai bahasa teratas.
Melihat kepada cetakan tiket temasya Sukan Asia Jakarta Palembang 2018, jelas mereka melakukannya dengan begitu tegas melalui tulisan bahasa Indonesia yang lebih besar dan digelapkan (bold) seterusnya barulah diberikan terjemahan bahasa Inggeris yang lebih kecil tanpa digelapkan. Berbeza dengan cetakan tiket temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, keseluruhan cetakan tiket semuanya dalam bahasa Inggeris melainkan perkataan Kuala Lumpur (itu pun disebabkan Kuala Lumpur ialah kata nama) dan juga slogan ‘Negaraku’ sahaja dalam bahasa Melayu.
Saya mengerti, kita mahu mengantarabangsakan temasya tersebut, namun tidak bermakna prinsp kebangsaan harus kita abaikan dan letak ke tepi. Situasi seperti ini menunjukkan kita tidak tegas dan komited dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan yang juga bahasa ibunda kita di buminya sendiri. Jika dalam hal sekecil-kecil seperti cetakan tiket seperti ini pun kita tidak mampu mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa teratas, apatah lagi dalam hal-hal yang lebih besar?
Semoga tulisan ini akan menjadi iktibar kepada kita semua dalam usaha mengekalkan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ibunda di negara ini. Ingatlah, bahasa mutu bangsa. Tanpa bahasa, sesuatu bangsa tidak akan berjaya. Yang baik-baik itu daripada Allah, dan yang buruk-buruk itu daripada kelemahan saya sendiri.
Oleh: Asyraff Jamin
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?