Berlegar di fikiran penulis beberapa minggu ini adalah soal penglibatan golongan cerdik pandai di ranah politik. Naluri manusia diberitahu segala yang gelap akan hilang diganti cahaya benderang, suluhan ilmu pengetahuan. Dengan maksud pengetahuan di sini adalah yang rentas bidang, bukan setakat hafalan, tetapi kebolehan mengoperasikan yang diperhafalkan itu ke dalam struktur kehidupan.
Orang berilmu dinilai bukan pada gelar, atau sekeping kertas bercop ijazah.
Demikian menurut Prof. Alatas yang meninggalkan legasi besar dalam dunia kesarjanaan negara. Nampaknya beliau berhasil memisahkan sempadan yang seni antara orang berilmu dan orang terpelajar.
Kenyataan ini mengiringi premis berikut. Baru sahaja warga maya dihidangkan berita segelintir kecil ahli akademik dengan gelaran meleret-leret, jurnal bertimbun-timbun dan sijil berlipat-lipat tetapi mengeluarkan kenyataan menyeru dukungan pada pemerintah tanpa syarat yang dibenarkan secara akademik. Janggal sekali, setelah sekian banyak tenaga dan masa dikorbankan untuk membawa hawa kebebasan dan penghormatan terhadap wacana ilmiyyah mudah sahaja ia diserahi kembali ditawan. Walau apapun alasannya munasabah, sukar untuk diterima kebebasan yang dimiliki diserah bawah taklukan pemerintah.
Kaum sarjana atau intelektual itu tugasnya bukan menjadi cop yang hanya menenyeh, membenarkan apa sahaja yang datang apatah lagi yang belum datang daripada pemerintah. Mereka jauh lebih mulia daripada kedudukan itu jika mereka memandang diri sebagai kaum sarjana. Tapi, jika hanya mengukur diri sekadar intelegensia atau bangsawan akademik yang hanya mahu keluar masuk kantor Menteri.
Peranan intelektual itu besar sekali. Menjadi pewasit, penyemak, yang memelihara amanah ilmu, mengukur keputusan dan tindakan berdasarkan piawaian ilmu, bukan doktrin, bukan dogma. Ilmu itu sendiri tawar rasanya, tiada rasa, tidak berwarna, tiada berperisa. Kaum sarjana harus menjadi pemimpin tanggungjawab moral melaksanakan pemantauan awam (public scrutiny), membersihkan ilmu daripada dipercampurkan dalam dunia politik yang sangat licik, berwarna dan berperisa. Ahli akademik patutnya menganjurkan, meniup semangat kemandirian berfikir dan kemerdekaan membuat pilihan berdasarkan ukuran ilmu. Bukan meniup-niup, menyeru kepada suatu sikap yang membelonkan pemerintah.
Orang berilmu ditinggikan Allah seberapa darjat sebagai mana petikan ayat al-Quran ;
“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”. [al-Mujadalah:11]
Dalam petatah petitih para alim ulama ini dikiaskan sebagai ‘suluh bendang dalam nagari’. Mereka menjadi ikutan. Laksana bintang kejora, sebagai lampu memandu nakhoda dalam pelayaran. Ulama bagaimana halusnya penyiasatan mereka tetap terdedah kepada faktor manusiawi. Kecenderungan untuk memilih dan menggemari akan sesuatu menurut pertimbangan diri. Sesetengahnya terjatuh juga ke lembah fasad apabila dengan pengetahuannya itu mereka membeli dunia, meliuk lentokkan lidah hanya untuk memikat hati penguasa, mengintai kedudukan, menyembunyikan kebenaran.
Justeru itu, kita patut membezakan antara ulama su’ dan ulama al-amilin yang beramal dengan penuh taqwa, warak, memelihara diri daripada bermudah-mudah, serta mensabitkan diri dengan akhlak mahmudah. Untuk suatu renungan lagi elok diperhatikan mengenai khutaba’.
Golongan yang satu lagi ini cukup fasih dan lincah bersilat lidah, kepetahannya berkata-kata melantunkan selenggok dua ayat al-Quran dan al-Hadith yang dihafal sejak zaman sekolah tanpa dibuat pendalaman, pembacaan silang dan memahamkan dengan konteks semasa. Mereka turut di’ulamakan dan mendapat tempat yang begitu luas dalam masyarakat. Kelompok ini pada hakikatnya sangat berbeza dengan para ulama al-Amilin yang darjatnya dimuliakan beberapa tingkat seperti tersebut dalam surah al-Mujadalah itu.
Sebegitu kritikalnya peranan golongan alim ulama ini tidakkah terlintas dengan mudah kita menarik keluar kesimpulan bahawa serahkan sahajalah soal siasah kepada mereka. Nescaya, terpandu, sejahtera, maju, berkebajikan dan keadilan dapat pula diratakan. Penulis sendiri tidak lepas daripada memikirkan sepolos itu ketika zaman sekolah. Memberikan amanah kepada orang yang soleh (amal baik) bukankah memastikan penjagaan (hafeez) dapat ditegakkan? Seperti kisahnya Nabi Yusuf ‘alayhi al-Salaam yang meminta diberikan amanah sebagai pengurus perbendaharaan negara kepada beliau? (Surah Yusuf : 55)
Tetapi memilih pemimpin bukanlah seperti memilih imam yang akan memimpin solat. Diperhatikan soal siapa yang lebih qari, ahli qariah, lebih senior. Termasuk dalam bab adab yang mana konteksnya telah kekal. Setakat pengetahuan penulis yang picik, ciri pemimpin yang layak itu bukanlah tentang kesolehan, tetapi kebolehan. Ia sabit dengan anjuran al-Quran memilih pemimpin hendaklah daripada kalangan al-Qawwiyul Amin.
Penulis tertarik memetik tulisan Ustaz Hasrizal mengenai kupasan ciri kepimpinan ini. Menurut beliau, Ibn Taimiyyah membahaskan perkara ini di dalam kitabnya, al-Siyasah al-Syar`iyyah fi Islah al-Ra`i wa al-Ra`iyyah sebagai memudahkan kita mengukur kelayakan.
QAWIYY itu bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah Qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai KOMPETENSI.
AMEEN pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlaq seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai INTEGRITI.
Pada pekerjaan yang memerlukan kekuatan dan kemahiran fizikal, mental, emosi ada orang yang lebih layak. Dia telah melalui hidup dilanyak dan dihenyak, menghadapi helah serta sedia pula bermain muslihat. Untuk mara memikul beban suara rakyat dia telah teruji. Manakala, memegang perbendaraan negara di perlukan orang yang teliti, cermat, tenang dan tentunya amanah.
Beberapa contoh yang dikemukakan ini membawa perhatian kepada perkara yang lebih khusus mengenai pengurusan bakat. Banyak organisasi konglomerat sangat mengutamakan perkara ini sehingga mereka berupaya memposisikan orang yang betul pada tempat yang betul pula untuk menjana pulangan semula kepada syarikat berganda. Ia berkaitan mengecam kebolehan, kapasiti dan kesanggupan seseorang itu menurut bakat yang dimiliki seseorang untuk ditempatkan di satu-satu posisi yang sesuai kepadanya. Orang yang memiliki kearifan, kekuatan memikul sesuatu tugas itu lalu kepadanya diserahi.
Walaupun dalam banyak keadaan politik sebaliknya pula yang berlaku. Ia akan berbolak balik kepada kehairanan kami tentang dunia ini. Seni segala kebarangkalian sekali. Penulis baru sahaja bertemu mantan pimpinan tertinggi politik sebuah negeri yang pernah menjadi ketua badan eksekutif. Beliau kelihatannya masih bertenaga, bervisi, disiplin dan tegas. Usianya masih relevan untuk berkerja cergas. Legasinya diperakurkan. Regu lawan di blok pembangkang turut sama mengiktiraf bakat dan pencapaiannya yang telah ditoreh. Cuma, legasinya itu kehilangan ‘current’, terpadam terus berikutan kegagalannya mempertahankan kerajaan negeri sehingga dirampas oleh parti lawan.
Berikutan perubahan kerajaan, dia kembali sebagai jentera pentadbiran negeri, tetapi bukan sebagai nakhodanya lagi. Cuma sebagai anak kapal, mengangkat sauh dan menegakkan layar. Kami anak muda yang membaca dan melihat hasil kerja beliau yang boleh dibanggakan itu kemudian bertanya “Kenapa bukan tuan yang dinaikkan semula?” Al-Jawabnya, “secara moral disebabkan saya gagal mempertahankan kerajaan sebelum ini maka saya dianggap gagal dan terlucut secara politik untuk kembali menerajui kerajaan. Walaupun secara merit ramai melihat kewibawaan saya” sambungnya.
Gambaran di atas hanyalah contoh kecil berbanding deretan contoh-contoh lain yang akan membawa kita kepada kehairanan. Politik itu bukan tentang siapa yang terbaik, tetapi siapa yang kuat untuk menguruskan sepak terajangnya. Disebabkan itu, orang baik dan cemerlang akan kalah oleh yang lebih kuat menguruskan kekurangan baik dan kelemahan mereka itu untuk terus bertahan dan berkuasa.
Di sini kita dapat mengecam mandatorinya pengurusan bakat. Jika rakyat mengharapkan orang-orang yang amanah lagi berpengetahuan tinggi dengan mengabaikan syarat satu lagi yang lebih fundamental, kekuatan – ia akan dikalahkan bahkan ‘terbunuh’ dalam dunia yang kasar itu.
Dalam pepatah adat ada disebut :
Yang buta penghembus lesung.
Yang pekak pelepas bedil,
Yang lumpuh penghuni rumah,
Yang kuat pembawa beban,
Yang bingung disuruh-suruh ,
Yang cerdik lawan berunding.
Kalau memilih tempat mandi
Pertama teluk, kedua pantai
Kalau nak memilih pemimpin negeri
Pertama elok, kedua pandai
Pernah tersurat dalam memori kolektif orang Melayu bahawa memilih pemimpin ciri elok dan pandai diberikan keutamaan. Entah bagaimana kita mentafsirkan elok – mungkin sifat amanah. Manakala, pandai itu menurut sifat banyak tahu, panjang akal, mungkin juga memiliki kekuatan mengakal (berhelah dan menguruskan muslihat). Jika itu boleh diterima, pepatah Melayu ini dapat pula di selarikan dengan anjuran agama kita. Dalam Sirah Nabawiyyah mencontohkan bagaimana soal ini dihitung untuk difikiri generasi kemudian. Perhatikan sikap Nabi SAW ketika menjawab sahabat yang dikasihi baginda Abu Zar, apabila beliau meminta jawatan politik daripada Nabi SAW.
Jawapan baginda : “Wahai Abu Zar! Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya.” (Riwayat Muslim).
Soal pengurusan bakat ini telah dijelmakan oleh sebaik-baik tauladan manusia di akhir zaman. Menempatkan seseorang menurut bakat dan kemampuannya. Dalam konteks urus tadbir kerajaan ia dijenamakan sebagai kerajaan teknokrat. Faedahnya besar sekali. Kriteria dalam menjabat jawatan diukur berdasarkan warna dan baju politik tetapi berdasarkan merit dan wibawa. Walaupun ia sukar berlaku. Kita hampir sahaja dapat menyaksikannya apabila sebuah parti politik secara implisit menyuratkan hasrat berkenaan dalam tawaran mereka kepada pengundi.
Namun, teknokrat tinggal sekerat. Hanya beberapa kerat sahaja teknokrat yang didudukkan di kerusi penting amanah awam seperti GLC. Sorotan lampu limpah gemerlapan, populariti, akses kepada sumber negara seringlah mengelabui para pemain politik untuk merebut kerusi yang teruntuk kepada teknokrat itu. Perbatuan politik dilihat membatalkan hasrat murni berkenaan. tinggal ia sebagai perhiasan lisan ketika mengumpan pengundi dalam PRU.
Kita beralih kepada peranan kaum sarjana atau intelektual. Karya yang dirujuk mestinya tulisan Syed Hussein Alatas, Ahli Sosiologi termasyhur dan paling berpengaruh di Malaysia. Buku Intellectuals in Developing Societies mula diterbitkan pada tahun 1977. Berdasarkan analisis pengarang terdapat alasan mendesak supaya sekelompok intelektual yang dapat memainkan fungsi sosial dapat berperanan dalam masyarakat membangun. Menurut pengamatannya, lagi keadaan itu masih belum wujud. Masyarakat tanpa sekelompok intelektual yang berfungsi akan kehilangan tingkat kesedaran dan wawasan tertentu atas masalah pokok.
Tentang definisi intelektual beliau dipetik “Intelektual adalah orang yang memusatkan diri untuk memikirkan idea dan masalah bukan kebendaan dengan menggunakan kemampuan akliahnya. Di bahagian lain beliau menyebutkan ‘intelektual bukan hanya berpengetahuan lebih banyak tetapi juga mempunyai kemahuan berfikir dan mengetahui segala akibat dari setiap tindakan’.
Kita tidak menyempitkan golongan intelektual itu kelompok yang cenderung berada dalam lingkaran sendiri yang memisahkan diri daripada massa. Mereka hidup, berjalan, merasai kesenangan dan masalah yang mendenyut nadi bersama orang awam lainnya. Kelompok ini bukan difahami hanya semata ahli teori, mereka boleh jadi aktivis yang turut sama di lapangan. Cuma pandangan mereka menembus kepada persoalan mendasar yang jarang diberikan penghargaan oleh sekelilingnya menjadikan mereka terpisah oleh tabir pemikiran. Struktur masyarakat juga ikut mempengaruhi kedudukan kelompok ini.
Di Malaysia, golongan intelegensia walaupun ramai, tetapi amat sukar ditemui mereka memainkan peranan intelektual serta mewujudkan fungsi sosial mengirimkan pandangan substansif kepada pelaksana untuk dijalankan. Beliau membezakan dengan cermat terhadap istilah yang hampir sama – kaum intelegensia. Menurutnya, kelompok ini adalah mereka yang mengalami pendidikan tinggi formal dan moden, pakar dan profesional dan mereka yang memiliki pendidikan tingkat tinggi dengan cara lain.
Menurut Alatas ada beberapa sebab kaum intelegensia gagal menjadi kelompok intelektual yang berperanan ;
“penyebab yang paling menonjol adalah ketiadaan semangat intelektual, atau apa yang dikatakan semangat falsafah oleh Jamaluddin al-Afgani (1838 – 1897) pembaharu muslim terkenal. Semangat mengkaji, kenikmatan dalam pencarian intelektual dan rasa hormat yang mendalam pada pengetahuan ilmiah dan rasional ini, sayangnya tidak tersebar luas dikalangan masyarakat membangun.
Ketiadaan intelektual adalah ketidaan kepimpinan dalam bidang pemikiran berikut : pengajuan masalah, pentakrifan masalah, 3) analisis masalah, 4) penyelesaian masalah.
Kebimbangan yang boleh muncul jika keadaan ini berleluasa adalah munculnya sikap bebalisme yang tidak mempunyai kecintaan kepada terhadap hujjah yang tertib dan rasional serta tidak menaruh penghargaan terhadapnya. Kelak akan memunculkan kelompok orang pandir dengan sebilangan gejala sosiologis. Orang pandir ialah mereka yang pemikirannya didominasi oleh sejumlah atau semua perangai bebalisme.
Namun, kita patut merasa hampa kerana kelompok intelektual ini juga akan terbunuh bila menghadapi dunia realisme – khususnya di pentas politik. Alatas sendiri antaranya, beliau pernah cuba mencarik fabrik sosiopolitik negara untuk menjadikan suara politik itu juga sebagai suara intelektual, tetapi gagal.
Kita dapat melihat banyak para cendekiawan, ahli ilmu dalam erti kata yang faqih, jarang berhasil mampu memikul kedua-duanya sekali, kekuatan intelek dan kekuatan siasah bersekali. Anwar Ibrahim, mantan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) ini antara tokoh yang paling hampir. Dengan bakat keintelektualan bersinar dan kerangka pemikiran politik melawan naratif besar yang telah ditempa bertahun-tahun, sehingga kini beliau masih belum berjaya ke puncak. Walaupun kejayaan itu bukan ukuran hasil. Cuma, sebilangan kecil percaya beliau dengan peranan mengubah manusia dan mencipta budaya sudah dilihat berjasa besar.
Soal yang ingin ditarik di adalah untuk kita berikan perhatian terbuka. Tidak semudah segala masalah akan selesai apabila diserahkan kepada alim ulama, sarjana dan intelektual sahaja. Syarat lain lagi yang mereka perlu penuhi adalah kekuatan merangkumi – jasad, emosi, aqli, rohani, serta amanah lagi berintegriti.
Kita patut mengenalpasti antara bakat mengetahui dan mengaplikasikan. Mengetahui memerlukan kualiti aqliyyah dan empirikal, sedangkan mengaplikasikan mensyaratkan kualiti jasmani dan sekaligus rohani. Secara adatnya, orang yang lemah, bagaimana sekalipun ia mengetahui akan kebaikan sesuatu perkara, tetapi kudratnya tetap terbatas. Ia dihadangi oleh bakat dan asa-nya yang sederhana. Berbanding lawan lain yang memiliki darjah kebolehsampaian dan kebolehcapaian untuk memikul amanah diberi serta memuaskan sasarannya.
Pengalaman Malaysia sebagai latar dimajukan untuk direnung. Kompetensi yang layak mengisi hampawa kepemimpinan bukan diukur secara normatif, baik, elok dan amanah sahaja. Cakupannya lebih luas.
Adakah terdapat padanya kebolehan mengurus kemajmukan kaum yang berbeza sistem kepercayaan dan nilai hidup? Apakah dia mampu merancang suatu matlamat panjang dan menyediakan pelan mencapai dan risiko sebaliknya? Mampukah matlamat negara diselarikan dengan kehendak antarabangsa disamping thabit mempertahankan nilai sendiri? Bersediakah menghadapi sebarang penolakan dan pembodohan?
Bersediakah mencipta musuh dan teman yang kelak bila-bila masa menjadi musuh. Orang politik memiliki kekuatan yang tidak terdapat pada orang lain. Itu syarat yang utama sebelum amanah dan kealiman mengikuti kemudiannya. WAllahu’alam.
Disediakan oleh,
Muhamad Hanapi b. Jamaludin
Felo Penyelidik Jejak Tarbiah.
Hantar karya anda di emel [email protected].
Karya yang terpilih akan disiarkan di laman web Jejak Tarbiah dan mendapat baucar buku RM30!
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?