Buku ini memperihalkan bagaimana sanjungan, keterujaan, cinta dan harapan Buya HAMKA terhadap sebuah wilayah yang bernama Malaya.
Buya HAMKA sempat menuturkan suatu kalimat, yang mengambarkan perasaan dan luahan hati beliau kepada Malaya.
“Suatu cinta tulus dan sejati, tidaklah meminta dibalas, kerana cinta itu sendiri sudahlah suatu balasan.”
Sungguh, kecintaan terhadap Malaya begitu dalam dan telah terhunjam ke relung sukma yang terpahat disanubari. Buya HAMKA juga menegaskan bahawa kecintaanya terhadap Malaya bukanlah kerana keterpaksaan, melainkan ia ingin melihat supaya tempat yang bernama Malaya ini boleh merdeka seperti negaranya.
Jika kita soroti secara tekun, maka begitu banyak pelajaran sejarah yang bagi saya sendiri suatu ‘Penemuan Baharu’, ini mungkin kerana Buya HAMKA dengan segala kebijaksanaan dan ilmu yang beliau miliki, dapat mengupas dan menjuzukkan setiap cebisan sejarah dengan penuh teliti.
Buku ini mengandungi 10 bab yang utama. Dalam bab yang pertama Buya HAMKA sangat berbesar hati untuk mengalu-alukan kemerdekaan Malaya.
Keterujaan Buya HAMKA apabila mengetahui Malaya merdeka sangat mengesankan.
“Saya mencintainya (Malaya) sebagai mencintai Indonesia juga. Saya tidak merasa orang lain di Tanah Melayu! Dari lubuk jiwa, saya berpendirian, Indonesia dan Tanah Melayu adalah satu.”
Berdasarkan ucapan ini, maka tidak menghairankan jika pemimpin lain di Indonesia berasa sinikal dan pesimis dengan sikap patriotik Buya HAMKA.
Malah, Buya HAMKA diseret ke penjara selama 3 tahun dalam kerajaan Orde Lama di bawah pemerintahan Soekarno, kerana dituduh bersubahat dengan kerajaan di Tanah Melayu ketika itu.
Tuduhan ini sebenarnya adalah manifestasi kepada kecintaan Buya HAMKA terhadap Malaya. Benarlah, bahawa cinta itu bukan sahaja sekadar kata-kata, bahkan ia menuntut segala pengorbanan, baik darah, airmata dan hukuman dunia.
Seterusnya Buya HAMKA mengupas dengan lebih lanjut dan secara terperinci mengenai topik kebangsaan Melayu.
Apabila ditanya mengenai karakteristik masyarakat Melayu, Maka Buya HAMKA lebih suka menggunakan pendekatan Nabi Muhammad S.A.W.
“Nabi Muhammad S.A.W membukakan pintu segala orang menjadi orang Arab. Ketika ditanya kepada Baginda, ‘Siapa orang Arab?’ Baginda menjawab, ‘Siapa yang bercakap dengan bahasa Arab’.”
Peri penting daripada ucapan Nabi S.A.W adalah suatu keluasan dalam ajaran Islam. Maka, ini menunjukkan sesiapa pun boleh dikenali sebagai orang Arab, asalkan ia mahu bertutur tanpa mengira sempadan geografi, kasta, dan warna kulit.
Apa yang disandarkan kepada Nabi S.A.W adalah konteks yang lebih luas untuk kita mengerti konsep kebangsaan Melayu dalam gugusan kepulauan nusantara. Maka, Buya HAMKA mengambil satu kesimpulan bahawa, bangsa Melayu adalah mereka yang berbahasa Melayu, manakala bangsa Indonesia, adalah mereka yang berbahasa Indonesia.
Selain itu, Buya HAMKA juga sempat menitipkan pesanan kepada Malaya, bahawa pernah terjadi satu perkara yang perlu dijadikan ikhtibar. Lebih-lebih lagi jika berkait soal kesetiaan.
Pernah berlaku di Indonesia, tentang dua orang yang boleh dijadikan tauladan dalam perihal kesetiaan terhadap tanah air.
Buya HAMKA menjelaskan bahawa terdapat seorang pemuda Belanda-Indonesia, yang bernama Dr.Douwes Dekker.
Sungguhpun pada mulanya beliau sangat setia kepada bangsa dari sebelah ayahnya (Belanda), namun akhirnya dia memilih untuk berjuang bersama-sama rakyat Indonesia, hidup dan mati sebagai muslim sejati.
Berbeza dengan seorang putera raja, yang bernama Pangeran Hamid Al-Qadri, yang aslinya daripada Indonesia, namun dididik dan hidup seperti gaya orang Belanda.
Akhirnya, sang pangeran Raja inilah yang menjadi dalang kepada pembunuhan pemimpin-pemimpin republik yang berjaya dipatahkan, akhirnya sang pangeran dipenjara 7 tahun.
Apa yang ingin disampaikan oleh Buya HAMKA adalah bukan soal keturunan atau pangkat, lebih-lebih lagi jika melibatkan soal kesetiaan dan kecintaan kepada negara.
Ini sekaligus membuktikan bahawa pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu baik di Indonesia dan Malaya, ada yang datang daripada mereka yang berdarah campur dengan bangsa lain.
“Harga manusia ialah jasanya, bukan darah turunannya”
Buya HAMKA juga menyelitkan erti Agama Islam dan Kemerdekaan. Sebenarnya apa yang ingin disampikan oleh Buya HAMKA sangat halus dan tajam.
Buya HAMKA menjelaskan, saat Indonesia beroleh kemerdekaan, begitu banyak tantangan dan cubaan yang dilalui oleh para pejuang. Bahkan, para ulama bertungkus lumus dan tidak terkecuali untuk mengangkat senjata dan berkorban segala kemampuan.
Namun, disaat mengisi gerbang kejayaan pasca kemerdekaan itu, ramailah yang terpukau dek kemilaun cahaya pangkat dan harta.
Berapa ramai pemimpin yang dulunya hidup susah, namun setelah diberikan kedudukan dalam masyarakat, hilang segala panduan dan pedoman. Begitu juga para ulama yang diberikan jawatan.
Pandangan Buya HAMKA ini sebenarnya agak sinikal dan pesimis, bagi mereka yang dimaksudkannya. Namun, andai Buya HAMKA masih hidup, sudah tentu ia akan mengakui kata-katanya sendiri walaupun selepas Malaya kini dikenali sebagai Malaysia.
Buya HAMKA juga berkongsi suatu nukilan yang saya kira memang itu tujuan Buya HAMKA sendiri. Iaitu ingin memberikan suatu kritikan sosial kepada masyarakat terdahulu, namun masih relevan sehingga kini.
“Kita umat Islam di zaman dahulu menjadi guru dunia. Sebulan sebelum kita melangkah, musuh kita sudah takut, kerana kita tidak takut mati dan kita tidak terikat oleh kemegahan dunia.
Bagi kita, dunia sebagai tempat menanam yang akan diambil hasilnya di akhirat. Namun, setelah dunia Islam kehilangan keduanya itu, mulailah bangsa-bangsa kuat menjajah kita.
Sampailah akhir kurun ke 19, habislah kemerdekaan seluruh negeri Islam, ditelan dan dijajah oleh bangsa-bangsa yang dizaman dahulu adalah murid kita.”
Buya HAMKA juga sempat menitip suatu nukilan yang membahaskan kepentingan Ulama dan Kemerdekaan.
Di sini Buya HAMKA menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai rintangan Nabi-Nabi Ulul Azmi yang berdepan dengan ujian dan rintangan yang besar, dalam menyebarkan risalah tauhid dan kebenaran.
Justeru, peranan Ulama adalah sangat signifikan dan penting dalam memberikan pencerahan kepada ummat. Ini dikuatkan bilamana Buya HAMKA menukilkan kata-kata Imam Malik RA.
“Ulama pelita zamannya”.
Namun, terdapat juga Ulama yang menjadi talian hayat kepada pemerintah yang zalim. Bahkan, ulama-ulama ini ada yang sanggup menyalahgunakan nas dan dalil demi kepentingan peribadi.
Justeru, Buya HAMKA berpandangan semoga tiada golongan agamawan sebegini di bumi Malaya. Hal ini ditambah dengan pandangan Buya HAMKA yang mengatakan bahawa itu sekadar pengalaman dia di Indonesia.
Sebenarnya, apa yang dirisaukan dan ditakuti oleh Buya HAMKA sebenarnya berasas. Mungkin tahun selepas pasca kemerdekaan di Malaya, hal sebegitu tidak begitu ketara. Namun, dasawarsa ini, hakikat yang dijelaskan Buya HAMKA sudah pun berlaku di negara kita.
Buya HAMKA juga melanjutkan penjelasannya di dalam buku ini mengenai peranan Raja-raja dalam kemerdekaan.
Sepengetahuan Buya HAMKA, memang terdapat raja-raja di Malaya yang risau akan kedudukan mereka selepas merdeka. Lebih-lebih lagi jika Malaya ditakdirkan menjadi sebuah negara yang merdeka.
Buya HAMKA menjelaskan bahawa peranan Raja-raja adalah tidak kurang besar dan pentingnya. Kerana Raja-raja merupakan simbol kekuatan orang-orang Melayu, bahkan pengaruh Raja mampu memberikan impak yang besar dalam gerakan rakyat untuk menuntut kemerdekaan.
Buya HAMKA memberikan pandangan beliau berdasarkan peranan dan sumbangan besar yang dilakukan oleh Sultan Hamengkubuwono di Jogjakarta.
Nama beliau mahsyur dan harum semerbak wangian kasturi yang menebar ke seluruh pelusuk negeri di Indonesia, diatas peranan dan kemurniaan hatinya.
Malah, Sultan Hamengkubuwono ini sanggup menggunakan kedudukan, harta dan semua yang dia ada untuk membantu gerakan kemerdekaan, yang ketika itu cuba digagalkan oleh pihak Belanda.
Buya HAMKA menjelaskan bahawa perkara yang ditakuti oleh sebahagian raja-raja melayu tidak akan berlaku, asalkan mereka mengambil ikhtibar dan pengajaran, daripada apa yang pernah berlaku dahulu.
Bahkan, Tunku Abdul Rahman, menurut Buya HAMKA merupakan satu sosok keturunan Raja yang boleh dibanggakan dan dijadikan contoh kepada raja-raja yang ada di Malaya ketika itu.
Seterusnya Buya HAMKA menerangkan bahawa kebudayaan melayu itu sebenarnya lahir daripada kemurniaan hati orang-orang melayu yang memiliki kebaikan budi.
Buya HAMKA menjelaskan bahawa takrifan budaya, terbit daripada dua perkataan yang digabungkan menjadi satu. Budi dan daya.
Daripada budi yang halus dan pengetahuan yang luas itu timbullah daya. Jiwa kita juga mempunyai tiga anasir yang menimbulkan kebudayaan iaitu, perasaan, fikiran dan kemahuan.
“Apabila kebatinan atau budi kacau, nescaya kacaulah kebudayaan, dan apabila faham jernih fikiran tenang, timbul pula kebudayaan yang indah berseri sebagai hasilnya.”
Sebagai penutup, Buya HAMKA menitipkan pesanan kepada Malaya agar berhati-hati dan bersifat selektif, ketika memperkenalkan rancangan untuk menambah bilangan penduduk Malaya dari Indonesia, untuk mengimbangi komposisi penduduk dengan masyarakat Cina.
Apa yang ditegaskan oleh Buya HAMKA, meskipun perkara yang disyorkan oleh Dato’ Onn Jaafar ini sangat baik, namun perlulah diteliti agar, individu atau kumpulan yang masuk ke Malaya itu nanti tidak mempunyai fahaman komunis yang memecah belahkan perpaduan.
Keprihatinan dan kebimbangan Buya HAMKA sebenarnya berasas, bilamana polisi sebegitu dilaksanakan, sebenarnya ia terdedah kepada beberapa perkara yang kontra. Lebih-lebih lagi jika ditelusuri dengan penuh hemat dan cermat.
Sebenarnya, apa yang Buya HAMKA lakukan adalah tidak lain dan tidak bukan, hanyalah ingin mengharapkan yang terbaik untuk Malaya.
Seperti mana kita mencintai seseorang, sudah tentu dan pasti, kita akan menginginkan yang terbaik buat dirinya. Malah, kita sudah tentu tidak mahu perkara yang buruk berlaku sama ada bersifat jangka pendek dan panjang.
Begitulah kasih dan sayangnya Buya HAMKA kepada sosok tidak bernyawa yang bernama Malaya.
Harga yang Buya HAMKA bayar untuk menzahirkan rasa kecintaannya terhadap Malaya bukanlah sedikit. Malah, beliau dituduh sebagai pengkhianat oleh negaranya sendiri dan dihumban ke jeriji penjara.
Pelik.
Namun begitulah sifir dan ‘Sunatullah’ cinta. Ia menuntut pengorbanan dan kepayahan. Ia tidak seindah kuntuman bunga di taman, deruan angin di pantai, malah ia tidak seindah menatap pelangi di ufuk kejora.
Kenangan yang paling indah bagi saya ketika membaca buku ini bilamana Buya HAMKA selalu menterjemahkan rasa kasihnya kepada Malaya dengan pakaian dan bahasanya.
Seperti mana yang kita lakukan di dalam menzahirkan kecintaan kepada seseorang dalam pelbagai cara, maka Buya HAMKA menzahirkan kecintaannya dengan cara sebegitu.
Buku Kenangan-Kenanganku Di Malaya boleh dibeli di pautan ini:
https://jejaktarbiah.com/kedai/kenangan-kenanganku-di-malaya/
Oleh: Rashidin Idris
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?