Medan yang terletak di Indonesia mempunyai empat (4) suku terbesar antaranya Melayu, Jawa, Nias dan Batak. Dalam kalangan masyarakat Indonesia di Medan, suku Batak merupakan suku kaum terbesar di Indonesia. Suku kaum Batak kebanyakannya berasal dan bermukim di Pantai Barat dan Pantai Timur kawasan Sumatera Utara atau Sumut secara ringkasnya. Terdapat enam (6) suku utama dalam kalangan kaum Batak iaitu; 1) Batak Toba, 2) Batak Karo, 3) Batak Pakpak, 4) Batak Simalungun, 5) Batak Angkola dan 6) Batak Mandailing.
Secara umumnya, kaum Batak merupakan penganut agama Kristian (protestan, katolik) dan sebahagiannya Islam. Walau bagaimanapun, masih terdapat sebilangan kaum Batak yang menganut kepercayaan tradisional seperti Malim dan Animisme. Oleh kerana perbezaan anutan agama ini juga, kaum Mandailing pada zaman sekarang tidak lagi disebut atau dikenali dengan Batak Mandailing, kerana majoriti dari mereka adalah penganut agama Islam dan perkataan Batak lebih dikenali dengan kaum yang menganut agama Kristian.
Menurut Abdur Razzaq Lubis dalam bukunya, “From Palermo tu Penang: A Journey into Political Anthropology” (2010) menyatakan, penjajahan Belanda di Sumatera menyebabkan Mandailing menjadi sebahagian dari suku Batak. Namun, selepas kedatangan Islam, persepsi perkataan Batak kepada kaum Mandailing juga berubah. Ekoran dari penjajahan Belanda yang memisahkan suku kaum ini, akibatnya menjadikan suku Mandailing di Indonesia dinamakan Batak Mandailing dan suku Mandailing di Malaysia dinamakan Melayu Mandailing.
Nama Mandailing berasal dari kata Mandehilang (bahasa Minangkabau), ertinya ibu yang hilang). Kata Mundahilang, kata Mandalay (nama kota di Burma) dan kata Mandala Holing (nama kerajaan di Portibi, Gunung Tua), Munda merupakan nama bangsa di India Utara, yang tersingkir ke Selatan pada tahun 1500 SM atas desakan bangsa Aria. Sebahagian bangsa Munda masuk ke Sumatera melalui pelabuhan Barus di Pantai Barat Sumatera.
Sehubungan dengan ini, Mandailing memiliki riwayat asal usul yang dikenali dengan marga (naMa keluaRGA). Marga atau warga Mandailing yang terkenal adalah Lubis dan Nasution. Mereka kebanyakannya mendiami kawasan minangkabau di Sumatera Barat. Pada zaman dahulu, mereka dikenali sebagai kaum yang kuat dan digeruni oleh tentera Belanda. Tuanku Imam Bonjol merupakan individu yang paling kuat berlawan kerana mempertahankan Islam dan perjalanan dakwah mereka bergerak ke Batak Selatan dan mengislamkan semua masyarakat Batak Selatan.
Pengalaman berkunjung ke Medan, Indonesia selama dua tahun berturut-turut (2018 dan 2019) memberikan pengalaman yang berbeza dan bertambah pengalaman. Apa yang menarik berkaitan suku kaum Batak ini, mereka sebenarnya mempunyai aturan budaya yang berbeza dan mereka berbangga tradisi dan amalan mereka sejak turun temurun. Sebagai contoh, dalam kalangan kaum Mandailing, budaya yang diterapkan dalam suku kaum ini adalah budaya berucap dan budaya memberi nasihat. Seperti yang diterangkan oleh pemandu pelancong, Adnan Buyung Nasution (1934 – 2015) sebagai contoh, merupakan orang yang disegani di Indonesia dan beliau merupakan pemilik firma yang hebat dan terkenal iaitu Lembaga Bantuan Hukum.
Amalan budaya berucap dan memberi nasihat juga merupakan salah satu amalan mulia dan menjadi sebahagian dari amalan tradisi yang diterapkan dalam kaum Mandailing. Melihat kepada ketamadunan dan budaya masyarakat, mereka berbangga dengan amalan-amalan yang dipupuk oleh mereka. Ini juga berkait rapat dalam adat perkahwinan mereka di mana, para saudara mara termasuklah bapa saudara, ibu saudara, datuk dan nenek semuanya akan berucap menyatakan rasa syukur mereka serta nasihat-nasihat kepada pengantin.
Apabila dikaitkan dengan budaya berucap serta amalan memberi nasihat, masyarakat Mandailing juga berani kehadapan dalam mengkritik pemimpin. Mengkritik ini bukanlah bersifat membabi buta bahkan apa yang diajarkan, penuh dengan adat sopan dan santun bagi kesejahteraan bersama. Selain itu, budaya merantau atau berhijrah bagi menuntut ilmu juga merupakan amalan turun temurun masyarakat Mandaling. Kebiasaannya amalan ini dijadikan panduan kepada anak lelaki dalam membina jati diri berani dan cekal diri. Masyarakat Mandailing turut mendiami beberapa kawasan seperti di Malaysia (Perak, Negeri Sembilan, Kelantan), Brunei dan Singapura. Syeikh Ahmad Muhammad Said merupakan agamawan yang termasyhur, mewujudkan serta membina pondok bagi tujuan tempat menuntut ilmu sejurus kepulangannya dari Mekah.
Kesimpulannya, amalan-amalan yang diterapkan dalam masyarakat Mandailing merupakan amalan yang menjurus kepada pembentukan pemimpin yang cemerlang dan berwibawa. Seperti yang diketahui umum, antara ciri-ciri yang diperlukan oleh seorang pemimpin adalah berpengetahuan, berpengalaman, bijak berpidato dan mampu menerima teguran dan kritikan. Jika tidak berkemampuan dalam memimpin orang lain, cukuplah sekadar mampu untuk memimpin diri sendiri. Ini adalah kerana, menurut Prof Dr Imam Suprayogo, “memipin diri sendiri ternyata lebih sukar berbanding memimpin orang lain”.
Oleh: Ain Radhuan
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?