Frank Swettenham (1850-1946), seorang residen-jeneral British pertama Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pernah mengulas tentang pendidikan anak perempuan dengan menyatakan kehidupan anak-anak perempuan di Tanah Melayu terkongkong kehidupannya lantaran adat yang mengikat orang Melayu sehingga pendidikan yang diperlukan dan diberikan untuk anak perempuan telalu sedikit. Namun, dekad pertama abad ke-20 memperlihatkan perubahan tanggapan orang Melayu terhadap pendidikan perempuan.
Kontik Kamariah atau Tan Sri Datin Sri Cempaka Kontik Kamariah lahir pada 5 Ogos 1911 di Kuala Lumpur adalah anak perempuan yang bernasib baik kerana lahir dalam keluarga yang mementingkan nilai pendidikan dan diberi kebebasan bergaul dengan lelaki. Bermula dengan pendidikan di sekolah Melayu, diteruskan kepada pendidikan sekolah aliran Inggeris sehingga menjadi perempuan Melayu pertama yang lulus dalam peperiksaan Senior Cambridge pada tahun 1929. Namanya disebut-sebut tanda kebanggaan orang Melayu! Bukan hanya itu – beliau turut menjadi satu-satunya wakil anak Melayu yang mengikuti kursus perguruan English Normal Teacher Training di Victoria, Kuala Lumpur pada tahun 1929 hingga 1931!
Khidmat beliau sebagai penyelia di sekolah-sekolah seluruh Selangor telah mengundang kekaguman Aishah Ghani (1923-2013) sendiri melalui catatan memoirnya bahawa Kontik Kamariah berjaya mempamerkan ciri satu sosok wanita yang cerdik dan moden melalui kepetahan bertutur dalam bahasa Inggeris dan kereta sport merah yang dipandu sendiri. Bukan hanya memancing kekaguman Aishah Ghani, bahkan juga menambahkan keyakinan pada Aishah, bahawa untuk maju, seorang wanita harus berani menempuh segala rintangan di samping punyai pelajaran.
Kontik Kamariah adalah salah seorang wakil pejuang wanita yang lantang memperjuangkan kebebasan pendidikan terutamanya kepada kaum wanita. Antara lain sumbangannya ialah:
Kalau tak ada api, masakan ada asap?
Kalau Kontik Kamariah adalah ‘asap’, maka bapanya adalah apinya!
Tak dapat dinafikan kebenaran sikap prejudis orang Melayu terhadap pendidikan aliran Inggeris atas faktor kegagalan pihak penjajah memahami citarasa orang Melayu. Datang memperkenalkan unsur baru ke dalam amalan yang telah lama diimani (pendidkan al-Quran) kepada masyarakat sudah tentu mengundang kesangsian dan prasangka. Namun, tidak pula buat Allahyarham Ahmad Panglima Garang Ishak, ayahanda kepada Kontik Kamariah – dihantarkan puterinya itu mendapat pendidikan aliran Inggeris sehingga peringkat tertinggi.
Sumber
Musa, M. (2010). Wanita Melayu, Kesedaran Pendidikan dan Pembentukan Masyarakat Malaysia Moden. Malaysia Dari Segi Sejarah, 38, 1-24.
____
Oleh Aimi Rasyida Junedi
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?