Malcom X ni bagi aku adalah seorang revolutioner dari segi pemikiran orang Negro. Bagi yang tak pernah dengar nama beliau, Malcom X ialah seorang aktivis hak sivil untuk orang Negro ataupun Afro-American. Seorang muslim di Amerika yang sangat menentang racism dan segregation (pengasingan) antara orang putih dengan orang kulit hitam.
Permulaannya dia cerita kenapa dia
ceritakan semua perkara jahat yang dia pernah lakukan masa dia muda. Katanya ni semua adalah aturan Allah untuk membentuk dia yang sekarang. Kalau dia tak buat jahat dulu, dia tak akan faham macam mana orang-orang golongan macam tu rasa. Bayangkan apabila menjadi golongan yang terpinggir dan sekeliling dipenuhi dengan orang macam tu, makanya besar kemungkinan kau akan terikut sama. Dia pernah jadi penjual dan penagih dadah, merompak, kerja dengan bapak ayam pun pernah, sampailah dia masuk penjara.
Sebab tu aku rasa kalau betul nak bawa idea islam tu rahmah, kita kena bergaul dengan macam-macam jenis orang. Semua jenis manusia lah kira, baru kita faham situasi orang lain macam mana. Kalau tak jadilah spesis yang kuat kecam orang. Fahamnya tidak.
Di penjara, dia dapat hidayah masuk Islam walaupun Islam yang dia dapat tu sebenarnya sesat sikit. Tu pun sebab dia sangat tertarik dengan idea orang islam ni bersaudara. Dengan orang luar sesama islam, boleh “assalamulaikum brother/sister.” Islam versi yang dia terima ialah Nation of Islam (NOI) dibawa oleh Elijah Muhammad dan mamat ni mengaku dia ni nabi yang terakhir. Malcolm boleh tertarik nak masuk islam versi Elijah ni adalah disebabkan dengan dakyah depa yang mengatakan “all White Man is evil” dan manusia asalnya adalah orang Negro, kemudian selepas berzaman transform jadi orang putih. Katanya Jesus pun sebenarnya adalah negro. Orang putih yang selewengkan sejarah lepas tu untuk angkat darjat diri sendiri lah kira.
Satu benda yang kita kena faham, orang negro dekat Amerika ni macam dah hilang identiti dan dah terlampau lama minda tertawan. Sampaikan depa ni sendiri rasa memang ditakdirkan untuk jadi hamba orang putih takda rasa nak melawan. Berapa ratus tahun orang Negro redha jadi hamba tanpa ada revolusi kebangkitan secara berjemaah. Sampailah bila dah moden sikit barulah naiknya tokoh macam Martin Luther King Jr. dan Malcolm X. Orang putih ni sangat percaya kepada White supremacy, depa ni lagi mulia dari orang kulit hitam, dan sebab tu depa lagi berhak untuk dapat segala hak. Orang kulit hitam tak layak. Jadinya,kalau kita sendiri rasa bangsa pendatang tak layak dapat hak tertentu tak rasa kita ni ada ciri-ciri macam white supremacy jugak ke?
Ketika tu, wujud golongan Negro yang try hard ikut style orang putih untuk fit in dalam society untuk dapat social recognition. Dan benda nilah yang Malcolm dari awal tak suka. Dia rasa merepek. Kenapa perlu nak ikut budaya dan pemikiran orang putih padahal depa ada budaya depa sendiri. Lebih kurang nak kata orang negro spesis yang ni macam buah koko, kulit ja gelap, tapi isi dah putih. Mindset macam orang putih yang sokong white supremacy. Bila dengar macam tak logik kan, tapi benda wujud, mungkin terlampau terdesak mahukan social recognition.
Bila Malcom dengar isi dakyah NOI ni, terus macam spark dalam diri dia. “Yes, this is what I have been thinking for years! And I found what I want,” Dan dari dalam penjara dia dah start tak minum arak, tak merokok dan tak makan babi. Sebab orang Islam tak buat dan makan benda-benda yang rosakkan diri sendiri. Punya baguih terutama yang bab rokok tu, sesat sesat pun masih faham konsep tu.
Walaupun ada saja gerakan menuntut hak sivil untuk orang Negro oleh orang politik Negro, Malcom macam tak berapa nak percaya manifesto macam tu. Katanya tu hanyalah wayang politik. Realitinya orang putih tak akan pernah boleh terima orang kulit hitam ni. Termasuklah perkahwinan campur atau sektor pekerjaan. Kalau ada pun hanyalah luaran tapi, jauh sudut hati tetap racist.
Kalau kau nak tau Malcolm ni bukannya habis sekolah pun. Masa remaja dah buat benda-benda jahat. Masa dia dekat penjara juga dia jumpa seorang pakcik ni yang macam sangat ilmuwan. Dia sangat kagum dengan pakcik ni. Disebabkan kekaguman dia ilmu pakcik tu tambah dengan dakyah Elijah, dia pun memaksa diri dia untuk mula membaca. Dekat penjara dia ada perpustakaan. Siap ada kelab debat lagi. Banduan membaca dan belajar berdebat, keluar baru boleh jadi manusia kot.
Dia ni mula-mula susah nak baca sebab dia tak faham banyak perkataan dan vocab yang ada dalam hidup dia waktu tu hanyalah vocab yang mencarut dan bahasa pasar slang orang Negro. Sangat terhad. Lalu dia baca satu kamus dan salin balik kamus tu, dan berjaya menambah vocab dia. Katanya, sejak tu dia akan baca, baca dan baca sebab terlampau banyak ilmu yang menarik dan buat dia lebih tahu mengenai dunia. Kau nampak tak? Malcolm ni sekolah tak habis kot, dari sampah masyarakat dia berubah jadi seorang orator yang hebat dan banyak menyentuh hati dan menggerakkan manusia-manusia lain hingga akhir hayatnya. Semuanya mula dengan, iqra’!
Malcolm ni ada karisma dan gaya bercakap yang menarik, bayangkan pengikut Elijah ni dari 400 orang, lepas Malcolm join berkembang sampai 400,000 orang. Pengikut NOI termasuklah Muhammad Ali, peninju terkenal dunia tu.
Ramainya pengikut NOI yang terdiri daripada orang Negro ini, menunjukkan mereka ni sebenarnya dah lama rasa perlunya hak-hak depa dipenuhi dan sangat tak suka dengan ketidak adilan dan rasisme oleh orang putih ni. Bila islam datang mengatakan white man is evil dan sejarah orang asal adalah sebenarnya Negro, mestilah ramai yang terpengaruh. Itu adalah alasan ataupun kepercayaan (faith) yang memotivasikan mereka untuk bangkit perjuangkan hak sendiri.
Walaupun NOI ni sesat sikit, kita kena ingat benda ni tetap qada’ dan qadar Allah. Dengan jumpa islam yang salah barulah lepas tu Malcolm jumpa Islam sunni selepas dia pergi buat haji.
Kata Malcolm selepas dia tau orang Islam kat Mekah akan marah dengan ajaran sesat ni;
“I reminded them that it was their fault, since they themselves hadn’t done enough to make real Islam known in the West. Their silence left a vacuum into which any religious faker could step and mislead our people,”.
Power.
Berbalik kepada Elijah Muhammad, Malcolm jadi sangat percaya dan taksub dengan Elijah ni sampai jadi orang paling kanan Elijah. Dengar gosip liar pun tepis tepi ja. Tetap percaya Elijah ni alim. Antara alasannya adalah, kalau dia tak bertemu dengan Nation of Islam ni, dia akan masih jadi manusia tak guna hisap dadah jual dadah takda tujuan hidup. Elijah ni penyelamat jiwa dia.
Kemuncaknya bila terkantoinya Elijah Muhammad ni berzina dengan 2 perempuan yang kerja dengan dia sampai mengandung. Kata Malcom, perkara yang bagi dia major blow ialah bila si Elijah ni yang sepatutnya berdepan dengan pengikut-pengikut dia, mengaku salah sebagai salah seorang manusia, tapi dia tak buat macam tu. Dia cover pulak punya salah. Kata nabi kan, takkan benda besar macam ni nak tutup lubang bajet mulia.
Lepas tu baru Malcolm tersedar, yang dia terlampau taksub dengan Elijah. Begitulah tuan-tuan dan puan-puan, taksub ni bila kau cuba tutup hati kau sendiri dari menerima kebenaran dari arah lain sebab terlampau percaya.
Aku sendiri percaya yang maksum hanyalah Nabi Muhammad saw sahaja. Selain tu, walaupun ustaz ka ulamak ka dia tetap manusia yang tak maksum. Buat salah tetap salah. Kalau yang dikatakan agamawan tak mengaku salah, sangat berbahaya di situ sebab orang macam ni selalunya ada pengikut. Of courselah perangai sebegitu akan diikut.
Sepertinya pengikut NOI, kebanyakannya adalah dari golongan bawahan, gengster, banduan, golongan yang kurang pendidikan. Jadinya bila sesuatu idea diberikan kepada orang yang terus menerima tanpa kurangnya membaca dan mencari ilmu lain. Makanya sangat bahaya kalau idea yang diindoktrinasi mengenai perkara yang salah ataupun kebenaran dari satu sisi sahaja akan membentuk golongan ekstremis. Nampak tak lagi, pentingnya iqra’, iqra’ dan iqra’b
Aku suka cara Malcom berfikir walaupun seseorang tu pernah buat salah, tetapi katanya kita tetap kena ingat “a person’s good deeds outweigh his bad deeds”.
Supaya takdalah kecaman terus menerus berlaku dan menutup peluang untuk seseorang tu bertaubat. Malcom tetap sampai ke akhir mengakui jasa Elijah yang pernah ‘selamatkan’ dia.
Kemudian selepas tu jadilah pulak siri Malcolm dipulaukan atas dengki dan fitnah ahli jemaah sendiri. Nama ja jemaah islam tapi fitnah dan dengki tak mau bagi orang naik tetap berlaku. Bunyi macam familiar ja kan? Haha.
Hikmahnya selepas Elijah kantoi dan Malcom kena pulau, barulah terdetik hari dia nak pergi Mekah buat haji.
Kalau siapa yang pernah sampai Mekah buat umrah/haji, mesti betul-betul faham dan terasa perasaan yang tak kira kau bangsa apa, kulit warna hitam, putih, kuning, koko, dan tak kira jugak kau kaya pangkat dato’ menteri ka, atau pun orang miskin, tak kira islam dari sejak lahir ataupun baru masuk tatu penuh di muka, tapi depan kaabah kau akan tetap berbaris ikut saf sebelah-sebelah. Kau boleh pilih mana-man saf yang kau suka. Tak wujud saf VIP Perasaan satu kesatuan. Unity.
Pengalaman dekat Mekah macam ni lah dan pengalaman berjumpa dengan orang kulit putih tapi layanan yang Malcolm dapat sangat tiptop, atas nama brotherhood yang buatkan Malcolm berubah kepercayaannya. Wujud sahaja orang putih baik-baik. Terus dia mula menyokong idea integrasi antara White Men and Black Men. Katanya lagi hanya ada satu benda ja yang boleh menyatukan antara black men dengan white men tanpa ada agenda tersembunyi dekat Amerika ni; iaitu agama Islam.
“America needs to understand Islam, because this is the one religion that erases from its society the race problem. Throughout my travels in the Muslim world, I have met, talked to, even eaten with people who in America would have been considered ‘white,’ but the ‘white’ attitude had been removed from their minds by the religion of Islam.” – Malcom X
Lepas dia balik dari haji ada ja siri-siri serangan extrim orang kulit hitam kepada orang kulit putih disebabkan propaganda yang pernah dia sebarkan dulu; ‘all white men are evil’. Dan dia menyesal dengan dakyah dia yang dulu.
So, kat sini menunjukkan bahawa, tak akan capai perpaduan kalau ada golongan bangsa yang bersangka buruk kepada bangsa lain, malah boleh memburukkan keadaan. Orang islam kat Malaysia sepatutnya lagilah kena faham benda ni sebab kita masyarakat majmuk. Dan benda ni bukan orang islam sahaja lah, termasuklah yang bukan islam kalau kedua-duanya main peranan saling memahami dan takda sangka buruk. Makanya akan aman.
“I am not a racist. I am against every form of racism and segregation, every form of discrimination. I believe in human beings, and that all human beings should be respected as such, regardless of their color.”
Teringat kes pembunuhan beramai-ramai di Christchurch. Aku boleh nampak, kebanyakan muslim di Malaysia terutamanya, sangat suka dan menghargai apa yang Jacinda Adhern buat. Contoh penghormatan yang sangat tinggi sebagai pemimpin beliau tunjukkan. Siapa yang tidak suka dan terkesan?
Tapi sesungguhnya tindakannya buat aku terfikir balik. Apa akan jadi kalau situasi pembunuhan tu terjadi kepada minoriti orang bukan Islam di negara majoriti muslim. Bagaimanakah reaksi masyarakat dan pemimpinnya? Aku tak tahu. Aku terfikir, apa reaksi kita? Adakah kita akan bagi sokongan kepada keluarga mangsa SAMA MACAM orang kiwi buat? Dan apakah tindakan sebagai pemimpin muslim? Aku tanya ja, bagi kita reflect balik, betul ke yang kita ini juga tak racist. Betul ke kita tak rasa kita lebih mulia dari bangsa lain. Kalau betul, layanan double standard tak akan jadi kan?
Satu benda yang bagus pasal Malcolm ni ialah dia tak serik nak cari kebenaran. Bila dia dapat tahu apa yang dia pegang selama ni salah, dia tak malu kot nak perbetulkan kesalahan dia. Cuba bayang masa sebelum dia pergi haji pun dia dah femes, berapa banyak stesyen TV, radio, majalah yang nak interview dia. Pergi mekah pun, ramai ja yang kenal dia. Internationally known. Balik dari Mekah terus berubah prinsip dia selepas dapat tau yang kebenaran. Bukan senang nak betulkan kesalahan sendiri bila nama dah menjulang ke langit. It’s not easy, man. But he did it. Inilah beza orang yang betul-betul ikhlas cari kebenaran berbanding orang yang ada niat lain mahu habuan dunia semata.
Akhirnya Malcolm mati dibunuh. Aku rasa kalau orang kita tau macam mana keadaan jenazah Malcolm mesti terus cap bukan-bukan. Lepas 5 hari baru jenazah dia dikebumikan. Ada seorang syeikh tu masa melawat jenazah Malcolm katanya; “death is a private matter between Allah and the deceased,”.
Okey, semat ayat ni dalam-dalam dalam hati. Kita bukan Tuhan untuk judge mana-mana manusia pun. Siapa kita nak menentukan syurga neraka seseorang kan?
Al-fatihah buat Brother Malcolm X.
Oleh: Hanis Hafizah
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?