fbpx
Penghantaran Percuma untuk pembelian melebihi RM199
RM0.00 0

Cart

No products in the cart.

UTAMA
JT & JIWA
CARI
RM0.00 0

Cart

No products in the cart.

Continue shopping
TROLI

Pemikiran Tempang Sepanjang Covid-19

Sepertimana yang kita sedia maklum, pada 16 Mac 2020, Perdana Menteri telah mengumumkan tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sepanjang 18 Mac hinggalah 31 Mac. Keputusan ini dibuat berikutan graf kenaikan kes jangkitan Covid-19 semakin meningkat dan risiko tentang penularan virus ini dalam kalangan rakyat Malaysia sangat tinggi. Berdasarkan laporan rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, lapan kematian telah dicatatkan di saat artikel ini ditulis. Sementara itu, Menteri Pertahanan memberitahu akan mengerah anggota tentera di beberapa lokasi bagi membantu pihak kerajaan melaksanakan kawalan pergerakan yang telah dilaporkan oleh media, kurang mendapat kerjasama daripada orang awam di beberapa kawasan.

Sepanjang tempoh kawalan pergerakan, kita dapat mengikuti perkembangan yang dilaporkan media dan yang tular di dalam media sosial berkenaan beberapa perbuatan jelik sesetengah orang yang memperlekehkan situasi runcing ini. Saya terbaca di dalam Facebook, hantaran seorang pensyarah UiTM, Ahmad Farami, beliau mengatakan bahawa kita berhadapan dengan ‘cultural barriers’ dalam melaksanakan pencegahan wabak virus Covid-19. Ini kerana, setiap individu mempunyai kepercayaan sosio-budaya masing-masing yang adakalanya berbeza daripada pendapat ‘mainstream’ (arus perdana) seperti contoh, percaya bahawa ini adalah perbuatan syaitan untuk merosakkan umat manusia. Oleh itu, penulisan ini bertujuan untuk berhujah melawan pemikiran-pemikiran tempang yang muncul sepanjang Covid-19.

Lebih Takut Allah Daripada Virus

Beberapa individu yang menzahirkan peribadi beragama telah berhujah bahawa kita tidak perlu untuk panik dan tidak perlu untuk berhenti berkumpul beramai-ramai kerana padanya yang perlu kita takuti ialah Tuhan yang Maha Esa berbanding ciptaan-Nya, virus Covid-19. Berikutan itu, saya kira itu adalah satu slogan yang kedengaran begitu molek semata-mata namun tidak memberikan apa-apa penyelesaian kepada masalah besar yang dihadapi oleh negara, bahkan satu dunia diserang oleh pandemik Covid-19 ini. Ini membuatkan saya teringat pada kata-kata Mufti Perlis sewaktu beliau berforum di Pulau Pinang bersama Salman Ali, yang mana moderator forum tersebut dikendalikan oleh ustaz Rizal Azizan. Ketika itu Dr Asri menjawab persoalan tentang slogan yang selalu ditunggang beberapa pihak untuk kepentingan pihak yang lain. Beliau memetik sirah pada zaman pemerintahan Saidina Ali apabila berdialog dengan golongan Khawarij. Ini kerana pada waktu itu golongan Khawarij menggunakan slogan untuk diberikan pengadilan mengikut hukum Allah dengan laungan إن الحكم إلا لل (Tiada keputusan melainkan bagi Allah). Lalu Saidina Ali menjawab dengan kata-kata yang terkenal, كلمة حق يراد بها الباطل (Kalimah yang benar tetapi dengan maksud yang batil).

 Jika kita perhatikan, penggunaan slogan yang menarik adalah salah satu bentuk retorik yang selalu digunakan oleh orang ramai. Contoh paling mudah ialah ahli politik yang sentiasa mengeluarkan kata-kata indah tetapi pelaksanaan yang berbeza. Berbalik pada isu Covid-19, laungan bahawa kita hanya takut pada Allah bukan pada virus adalah salah satu daripada jutaan slogan sepanjang sejarah tamadun manusia. Slogan begini tidak memberikan solusi yang berkesan, malah lebih mengakibatkan kesan buruk terhadap orang ramai. Ini disebabkan keengganan kita untuk mematuhi arahan pemerintah yang bertujuan mengekang kerosakan yang boleh membunuh. Manakala Dr Zulkifli al-Bakri, Menteri Agama, juga telah menjawab hujah ini berdasarkan laporan Astro Awani dengan mengatakan bahawa berusaha mencegah, menjauhi dan mengamalkan penjagaan kesihatan rapi merupakan sebahagian perintah Allah. Apabila kita berikhtiar, itu sejuzuk daripada makna kita takut kepada Allah, kita ikut perintah Allah dan mengambil hukum sebab yang diperintahkan kepada kita.

Sangkaan Baik Yang Terlajak

Penulis buku The Human’s Complex, Zamir Mohyedin, memberi komen dalam Facebooknya bahawa masyarakat yang degil tidak mengikut arahan pemerintah adalah disebabkan kita mempunyai bias optimis. Bias optimis atau ‘optimism bias’ ialah satu bentuk pemahaman simpang bahawa kecenderungan untuk berlakunya perkara buruk terhadap diri kita adalah kurang berbanding fakta dan kajian yang telah dijalankan. Kebanyakan dari kita percaya bahawa kemungkinan untuk dijangkiti virus Covid-19 adalah kurang. Contoh terbaik bagi isu ini ialah seorang lelaki yang telah ditahan polis kerana memperlekehkan pihak berkuasa atas arahan mematuhi perintah kawalan pergerakan apabila dia memuatnaik video berkumpul beramai-ramai mengadakan kenduri kepala kambing sambil mengutuk orang lain yang patuh. Manakala contoh umum yang lain ialah risiko kemalangan jalan raya dan risiko penyakit akibat merokok. Bias optimis menjadikan kita melihat sesuatu perkara atau isu daripada perspektif yang menyimpang, justeru mengakibatkan kita lebih berisiko untuk berhadapan dengan perkara tersebut.

            Hal ini telah disyarahkan oleh Tali Sharot, Profesor di jabatan Experimental Psychology, University College London dalam TED Talk pada tahun 2012. Beliau beri contoh perkahwinan yang menurut kajian mempunyai 40% kebarangkalian untuk setiap pasangan bercerai. Namun jika kita tanya kepada pasangan yang baru berkahwin, semuanya akan percaya mereka ada 0% untuk bercerai dikemudian hari. Tetapi perkara yang sebaliknya berlaku apabila kita baca statistik daripada jabatan agama Islam negeri, sepertimana yang pernah dilaporkan oleh media sebelum ini. Sebab itulah wujudnya individu-individu yang masih ingkar dan tidak mematuhi perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan. Mereka merasakan bahawa mustahil untuk mereka dijangkiti malah untuk menjangkiti orang lain. Tular satu video penguatkuasa polis yang menyuruh seorang pakar jantung untuk balik ke rumah dan berhenti teruskan riadah larian menunjukkan bahawa bias optimis ini tidak mengira status seseorang, contohnya mempunyai ilmu kedoktoran atau tidak. Menurut Tali Sharot, bias optimis ini kita perlu seimbangkan dengan kempen kesedaran dan pengurusan jangkaan (expectation). Kita perlu memastikan jangkaan kita berdasarkan sesuatu yang realistik.

            Kebanyakan hujah yang diguna pakai oleh orang yang ingkar ini ialah ‘kalau hendak kena, kita akan kena juga jika tiba masanya’ lalu bertindak sambil lewa keluar rumah dengan anggapan tidak ada apa-apa. Mereka tidak percaya pada kaedah memutuskan rangkaian wabak virus dengan duduk diam di rumah. Ini satu pemikiran yang digelar ‘self-fulfilling prophecy’ yang bermaksud akibat yang kita hadapi adalah daripada perbuatan dan kepercayaan sendiri.  Dalam isu Covid-19, kita ingkar arahan pemerintah dan tidak mengamalkan kaedah pencegahan. Seperti kes pesakit ke 136 yang menjadi punca utama kepada penyebaran wabak ini menurut sumber dari Kini News Lab di bawah Malaysiakini. Ini kerana pesakit tersebut mengalami demam ketika waktu virus ini heboh dikatakan media seluruh dunia namun tetap juga ke luar negara dan menyertai majlis tabligh sehinggakan begitu ramai kes kluster daripada jemaah tabligh. Begitu juga yang berlaku pada kes lelaki daripada Johor lari ke Kuantan menaiki bas apabila mengetahui positif Covid-19. Ini terjadi apabila kita berfikir ‘apa hendak jadi, jadilah aku tak kisah’ sehingga akhirnya menyusahkan orang lain disebabkan sikap pentingkan diri sendiri.

Kesempatan Dalam Kesulitan

Waktu ini begitu rancak sekali penjualan topeng muka dan pembersih tangan (hand sanitizer) yang agak mahal dari kebiasaan. Alasan yang diberikan ialah stok terhad dan harga kilang jual telah dinaikkan. Sehinggakan ada orang yang sanggup menipu menjual pembersih tangan dengan cara menggunakan pek sendiri atas jenama yang sedia ada. Contohnya jenama Dettol, ada individu yang mengisi kembali cecair pembersih tangan ke dalam botol yang lebih kecil dan menampal menggunakan kertas cetakan sendiri sebagai pembalut. Cecair pembersih tangan itu pula tidak dapat disahkan dikilangkan atau buatan sendiri sahaja yang kelihatan sungguh meragukan. Hal yang lain pula ialah topeng muka yang dijual dengan harga sangat mahal. Katanya ialah ingin menolong orang ramai dapatkan stok sebab di pasaran semuanya sudah habis. Perkara ini menjerumuskan kita pada perbuatan al-ihtikar atau ‘hoarding’. Maksud al-ikhtikar ialah menyimpan barang terhad dan menjualnya dengan harga tinggi sewaktu permintaan meningkat. Menurut Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulum al-Din, perbuatan itu ialah penjual barangan menyimpan barangan (kerana) menunggu harga dinaikan.

 

لاَ يَحتَكِرُ إِلاَّ خَاطِئٌ

Monopoli hanya dilakukan oleh orang yang bersalah.”

(Riwayat Muslim)

 

            Nabi SAW melarang kita daripada mengambil kesempatan ketika terutama ketika berlakunya krisis di satu tempat. Selain itu, perbuatan menaikkan harga barang dengan harga yang tidak munasabah hanyalah membebankan golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan barang keperluan. Ini termasuk dalam larangan berlaku zalim terhadap orang lain. Telah tular di Tennessee, Amerika Syarikat bahawa dua orang beradik, Matt Colvin dan Noah Colvin, yang membeli 17,000 pembersih tangan dan pengelap anti-bakteria telah dikenakan tindakan oleh pihak eBay dan Amazon apabila akaun mereka sudah digantung daripada berjual beli. Tindakan itu mendapat perhatian media dan rakyat sehinggakan mereka dikecam teruk dan diancam oleh pelbagai pihak. Akhirnya mereka mendermakan barangan itu pada pihak gereja untuk diberikan pada mereka yang memerlukan. Daripada kisah ini, dapat kita jadikan contoh untuk memainkan peranan kita sebagai masyarakat yang prihatin supaya menghalang berlakunya kezaliman oleh pihak-pihak yang sengaja mengambil kesempatan disaat orang lain kesusahan. Namun, apabila membaca di dalam Twitter, terdapat segelintir yang menyokong perbuatan ini atas alasan ‘tolong orang dapatkan dengan mudah’.

 

إِنَّ التُجَّارَ يُبعَثُونَ يَومَ القِيَامَةِ فُجَّارًا ، إِلَّا مَن اتَّقَى اللَّهَ وَبَرَّ وَصَدَقَ

Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertaqwa, berbuat kebaikan dan benar

(Riwayat Tirmizi)

 

            Agama menasihati kita untuk berlaku jujur dan berbuat baik. Ketika dunia diserang oleh pandemik  Covid-19, seeloknya yang kita lakukan ialah mencari jalan untuk membantu orang lain. Usah sibukkan diri dengan membuat masalah apatah lagi menyusahkan orang lain. Saya lihat tidak kurang juga ada yang mengambil kesempatan dengan melakukan amal jariah bersedekah. Ini adalah perkara yang patut kita lakukan. Jika tiada masa, kita boleh sumbang dalam bentuk wang dan barang keperluan. Paling kurang pun, bantulah dari segi membanteras berita-berita palsu. Begitu banyak berita palsu yang muncul semata-mata untuk meraih perhatian dan klik pada web mereka. Hal itu hanyalah mengganggu orang yang sedia ada sedang bertungkus-lumus menyelamatkan negara daripada Covid-19.

-Muhammad Baha’uddin Hamizan

    Leave a Reply

    Kenapa anda perlu membeli dengan kami?

    PENGHANTARAN PANTAS
    Tempahan anda akan diproses pada hari yang sama jika dibuat sebelum tengah hari.
    BUKU TERBAIK & BERKUALITI
    Buku-buku terbitan kami hanyalah yang terbaik dan berkualiti. Disaring mengikut keperluan semasa.
    PEMBAYARAN SELAMAT 100%
    Pembayaran boleh dibuat secara FPX / MasterCard / Visa melalui pelbagai jenis bank.

    Mari sertai komuniti buku kami agar anda tidak terlepas peluang info terkini.

    Selamat datang ke Kafe Buku Paling Sempurna, JEJAK BUKU & KOPI.

    Kombinasi sempurna antara rasa kopi dan pastri yang lazat dengan ratusan judul buku pelbagai genre.

    Nikmati WiFi percuma dan ruang duduk yang selesa untuk anda bersantai bersama keluarga atau menyiapkan tugasan di sini.

    Jemput datang ke JEJAK BUKU & KOPI di Bandar Puteri Bangi.

    Inginkan ruang khas ?

    Co-working space   l   Seminar   l   Kelas   l   Wacana   l   dan lain-lain ?

    Bintang Tanpa Nama.

    Bintang tanpa nama, barangkali begitulah kita dalam hidup seseorang. Bersinar dan wujud tetapi tidak didendang. Terpulang – dan demikianlah Ilham dan Aya yang menjadi bintang sesama sendiri.

    Di kota sederhana Kuantan, Aya menelusuri hari-harinya sebagai seorang peguam jenayah ditemani Ilham, lelaki yang pernah disukainya. Ilham, penyeduh kopi di kafe ‘Kita, Usai’ punya cerita tersendiri di sebalik senyumannya yang penuh tawa dan terkadang lara.

    Sejak mereka bertemu kembali, fasa demi fasa ditempuhi dalam waktu yang singkat – kehilangan, kemaafan, persahabatan, kekeluargaan dan cerita silam yang sentiasa melingkari hidup mereka berdua.

    Siapakah yang akan menyakiti dirinya sendiri? Aya atau Ilham? Entahlah, mungkin kamu juga. Orang yang sering membuka ruang untuk disakiti.