Catatan ringkas kerdil ini mewakili sejambak emas buat pengkarya asalnya. Dr. Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau nama penanya Hamka, ciptaan esa, sasterawan dan ulama tersohor jejak mulanya di Indonesia. Karyanya, ‘Tasawuf Moden’ menyingkap tirai perbatasan akal yang jahil, tiada mahu mengenal. Tinta mutiara itu mendorong saya untuk terus membaca dan membaca bahan pemangkin kebosanan dan setia dilekat pada minda ‘tidak penting’ dari kulitnya. Barangkali, akal perlu diputar tepat pada masanya. Hanya selepas isi diselam, barulah terungkai emosinya, benar? Kita bukanlah Sang Pencipta yang mampu mengungkap segalanya tanpa mengkaji jiwa.
Karya yang menjentik saya untuk termotivasi dalam hidup ini. Karya’ Tasawuf Moden’ ini membawa pengunjung melawat pelbagai kunjungan kemeriahan. Banyak tidak terkira mesej yang menarik tatapan minda saya pada beberapa helaian yang dialih satu persatu.
Dr. Hamka mencatat di helaian ini, saya menggariskan isinya ‘kepentingan dunia dan akhirat’. Bukanlah yang layak dilemparkan senyum pada mereka yang tidak langsung memandang dunia untuk manfaat akhiratnya, tetapi yang layak ditakhtakan ialah yang mampu mengerat dunia dan akhirat pada kelipan matanya yang sama. Kefahaman yang saya jiwai setelah sebelumnya berminat untuk menutup muka buku itu sahaja, biar disemadikan di rak sahaja apabila akal tidak mahu menurut kata. Dipaksa akal untuk mengiya, helaian lain dibuka selepasnya,
“Korban tiada dikorbankan, zakat tiada dizakatkan”
Apa ini? Ibadat korban dan zakat ditunaikan, menggunakan kayu berkulit atau duit? Harta diburui memungkinkan mereka melaksanakan ibadat dipertanggungjawabkan. Tanpanya bagaimana? Boleh ditukar kayu berkulit menjadi duit? Jika mampu, beritahu, begitu saya mahu tahu, tahu? Simpulan kata ringkas Dr Hamka ini memberikan saya kuncinya, carilah dunia sekadarnya untuk akhirat segalanya. Ayat seringkas itu memberikan jentikan dan mengupas huraian berjela di benak saya. Begitu Dia membuka mata kita di tanah ini, adalah kerjanya yang belum dibereskan lagi. Jadi, jadikanlah ia rezeki yang diberkati bukannya hidup bernafsi. Hidupnya kita keranaNya, jadi biarlah jalannya mengikut kehendakNya.
Garisan penting lain yang ingin saya utarakan merujuk tulisan tokoh ini adalah sentuhan pena yang menganggukkkan kepala saya, I’tikad. Analogi yang diterjemahkan menjadikan ia lebih bergaya untuk dibaca,
“Mengikat tepi-tepi barang atau mengikatkan suatu sudut kepada sudut yang lain. Jika tiada pegangannya, terbanglah dia ke mana yang diarah tiada pendirian”
Tanpa akar tegakkah pokok? Hadirnya juga terkadang masih juga bengkok pokoknya. Barangkali akarnya masih tidak tertegak benar lagi untuk menegakkan yang lain, bukan? Bagaikan I’tikad yang perlu diluruskan ke mana laluannya? Untuk siapa? Bagaimana?. Keyakinan yang utuh dan jitu menjadi hajat untuk menetapkan pendirian tentang sesuatu. Janganlah membuta-tuli menyokong itu membantah ini tanpa alasan teguh, tahukah kita mana yang benar dan salah, sebetulnya? Dalil, hujah, bukti membentuk tembok keyakinan, semakin banyak semakin tinggilah tembok itu. Jika satu pun tiada, bagaimana tembok mahu dibina?
Keajaiban lain yang mengungkap faham saya, dan mungkin inilah yang rapat dan setia melekat dalam kehidupan sehari-hari kita, tidak mahu menghilang, kerana itulah takdirNya,
“Jika diuji, tidak bergeser dari tempatnya, baru boleh dikatakan beriman”
“Tidak kecewa lantaran permintaannya tidak terkabul lantaran tahu dirinya di bawah peraturan tuhan semesta”
“Nabi Yaakub kehilangan anaknya Nabi Yusuf, Nabi Ibrahim diperintah menyembelih anak kandungnya Nabi Ismail”
“Haruslah mendaki kalau hendak menurun kerana penurunan itu di sebalik pendakian”
Ujian berombak mengenai semua ciptaannya. Caranya berbeza mengikut taraf mampunya. Tidak perlu dipersoal mengapa. Setelah diuji, baru maklumnya siapa yang makin ke puncak atau sudah ke kakinya. Mana yang beriman mana yang tidak?.
Satu persoalan yang saya tanyakan kepada diri saya dan ingin pula saya utarakan kepada semua, setelah kita menghadapi kesusahan bekerja di bawah pengurus yang kedekut, pemarah, cerewet sehingga membuatkan kita mengalirkan air mata pada awalnya, adakah kuantiti air jernih yang dikeluarkan semakin bertambah bersama tambahnya hari? Bukan saya yang menidakkan terlebih dahulu, sudah ramai yang menggelengkan kepala sebelumnya. Kata mereka “ Alah bisa tegal biasa”, “Abaikan saja, sudah biasa, sudah betah”. Lalu meneruskan kerja bersama pengurusnya seperti biasa lebih panjang senyumnya. Tahu kenapa orang atasannya begitu setelah mengenal hati budi pengurus yang sebenarnya. Mahu mereka lebih serius dalam bekerja, sabar dengan dunia, bukan hanya memandang gaji bulanan tinggi semata tanpa menghiraukan kualitinya. Pendek kata, jangan hanya tahu berkata tanpa tahu mana satu siratannya. Jangan hanya tahu mempersoalkan mengapa itu dan ini mengenai saya tidak yang lainnya, kerana Yang Esa punya punca mengapa kita yang dipilih untuk menghadapinya.
Hak untuk memahami agama, hak bersama. Dr. Hamka mengupas isi ini yang membuatkan saya tersentap sama. Bagi sesetengah golongan yang dilabel beragama ini, mahu pintu agama di bawah penguasaannya . Sedangkan dia tidak lebih daripada pengamal seperti yang lainnya, bukan penciptanya. Hanya sudah membaca sehelai ke hadapan kitab suci, yang masih merangkak memaham dicop bawahannya selamanya. Hanya semata-mata untuk melebihkan diri supaya mereka sahaja menjadi manusia rujukan pintar, bijak dan alim. Yang bawahnya, dibiarkan tertanya-tanya, tidak diterangkan seluruhnya, supaya ilmu diperoleh tiada rugi diberi kepada orang lain. Takut yang lainnya pula melepasi puncaknya. Jadi siapa yang lebih cetek akal dan ilmunya? Dihukumya itu salah dan ini salah, yang lainnya menurut tanpa tanda soal, tiada kefahaman, bagai keldai yang membawa kitab-kitab agama ke hulu dan hilir, adakah dia sudah selesai membacanya dahulu?
Pelbagai cara untuk mengawal hawa nafsu jahat kita. Antaranya menyelidiki cacat cela dan aib sendiri. Di dalam karya emas ini, Hamka sempat menulis butiran kata tokoh dunia,
Kata seorang hakim,
“ Temanmu adalah yang berkata benar dengan engkau bukan yang membenar-benarkan engkau”
Jalinus pula berkata,
“Manusia yang budiman dapat mengambil manfaat daripada musuh-musuhnya”
Syair arab mengungkap,
“Mereka korek kesalahanku lantaran itu aku dapat menyingkirkan diri dari kesalahan”
“Mereka berlumba-lumba dengan aku sebab itu aku dapat mencari kemuliaan dan ketinggian”
Bolehlah saya mendefinisikan di sini bahawa banyak aib yang terpotret di dahi sekeliling, aib di dahi kita, bagaimana mahu lihat? Bergunanya musuh itu di sini, kerana dia lebih memandang dahi kita berbanding yang lain. Jauhi daripada menurut perlakuan buruknya, tetapi dengarlah caciannya berkenaan kita, siapa tahu, mungkin itulah kesilapan yang kawan sendiri tidak berani menyuarakan?
Perancangan manfaat dan mudarat merupakan topik yang dibesarkan oleh kanta minda saya. Apa itu?
“Orang tua tidak dua kali kehilangan tongkatnya”
“Melarat pekerjaan yang tidak dimulai dengan pertimbangan, menghabiskan masa dan umur, hasilnya tidak ada kecuali satu sahaja iaitu pekerjaan yang terbengkalai dan tidak langsung itu dapat menjadi pengalaman dan perbandingan pada yang kedua kalinya”
Mudah katanya,perlu ada perancangan sebelum memulai sesuatu, apa itu perlu atau tidak? Mana satu yang perlu diutamakan? Memberi manfaat atau mudarat? Supaya yang diperolehnya sebagai hadiah bukan hanya peluh likat semata tetapi punya senyuman kepuasan bahagia. Bak ayat modennya, strategi. Iya, strategi perlu. Kita punya akal, mengapa malas menggunakan?
Garisan terakhir yang tidak boleh dilepaskan jiwa saya ialah sesuatu yang memberi impak dan gempak bagi manusia ciptaan fananya ini,
Takut kepada perkara yang pasti datang?
Apa? Tua dan mati.
Bagaimana tidak logiknya pendapat itu apabila kata-kata Dr. Hamka di dalam buku ini mengujar,
“Mahu umur panjang tetapi tidak mahu tua”
Jika bertambah umurnya bertambah dekatlah dengan tuanya, bermakna dia suka tua juga bukan? Perkara yang logik dpandangi akal tetapi tidak boleh diterima akal. Mahu dinafikannya lagi dan lagi, sedangkan dia membohongi dirinya. Lantaran manusia yang berpendidikan tinggi tidak mahu mengangguk setuju. Sayang dengan segala yang diusahakannya selama ini, kekayaan, pangkat, kehormatan, selamanyakah?
Lalu dinafikannya juga mati. Tiada mati?
Dia mengiyakannya ketika berfantasi. Badannya yang sihat menolak akal itu ke tepi. Bukan dia takut mati itu, tetapi sebenarnya tidak dia tahu ke mana akan dia tuju selepas itu, takut ke mana akan dia pergi. Setelah memandang yang tua mati seorang demi seorang, masih juga kepala menggeleng. Tidak. Direkanya entah apa-apa kefahaman akal ceteknya yang dicorak sendiri untuk memuaskan hati sedangkan dia tidak pernah mengaku itulah jawapannya.
Maka yang beriman sudah punya jawapannya. Diberikan secara percuma oleh Tuhannya Yang Esa melalui kitab sucinya Al-Quran dan Hadis NabiNya. Tidak perlu bersusah memerah akal mencari jawapan rekaan. Lalu dia mempersiapkan bekalan supaya di nafas terakhirnya dan di dunia baharunya dia tidak kehausan kelaparan, kerana bekalan amalannya sudah melimpah ruah, hanya bersenang lenang setelah membanting tulang susah payah di dunia mempersiapkan bekal. Tiada dia takut untuk menghadapi mati, bertambah lagi senyumnya kerana dia sudah bersedia, kerana dia tahu dunia akan datangnya memberi bahagia tiada penghujungnya. Hidup hanyalah mainan semata, jika tidak dimainkannya dengan benar, kalahlah ia.
Sungguh, inilah buku bukan fikseyn pertama yang dapat saya habiskan setelah sekian lama membelinya. Terbuka juga hati untuk membaca. Duit sudah dilaburkan perlu diambil manfaatnya bukan?. Jutaan tahniah dan terima kasih diujarkan kepada Team PTS Publishing House Sdn. Bhd., penerbit asalnya dari Indonesia dan waris-waris Hamka yang membenarkan tulisan penanya disebarkan untuk manfaat umat. Resensi ini tidak lain hanyalah suatu luahan kecil saya yang mahu berkongsi cerita bahagia bersama semuanya. Tidak cukup hanya membaca resensi ini sahaja, mahu bahagianya sempurna? Bacalah bukunya, semoga jika tidak banyak, sedikit manfaatnya itu berguna untuk diamalkan dan dikongsikan pula kepada yang lainnya.
Ringkas bercerita, segalanya bermula dengan kita. Sama ada akal kita menggeleng atau mengiya. Iyakanlah membaca segala jenis bacaan ilmiah bermanfaat yang berbilion di dunia, jangan sekadar melihat ia bukan berbentuk cerita, tidak menepati cita rasa, terus dipalingkan muka. Berminatlah untuk mengetahui sesuatu yang di luar zon selesa, lebih-lebih lagi sudah kita maklum daripada bangku sekolah, nama Dr. Hamka yang saban hari disebut guru mata pelajaran Bahasa Malaysia terutamanya. Mengapa namanya bagaikan zikir di bibir mereka?
Carilah cangkerangnya, suatu hari nanti kamu jumpa mutiara.
Oleh: Izzmire Insyirah
You must be logged in to post a comment.
Co-working space l Seminar l Kelas l Wacana l dan lain-lain ?