fbpx
Penghantaran Percuma untuk pembelian melebihi RM199
RM0.00 0

Cart

No products in the cart.

UTAMA
JT & JIWA
CARI
RM0.00 0

Cart

No products in the cart.

Continue shopping
TROLI

Usah Takut Membaca Buku Indonesia! Kita Ada Andrea Hirata

Telinga ini terngiang-ngiang nama ‘Andrea Hirata’ di merata-rata tempat. Anak muda yang rata-rata peminat novel, mesti tidak asing dengan nama Andrea Hirata ini. Aku jujurnya – jika aku boleh bermegah di ruangan ini – pengikut novelis Indonesia dari abad ke-21. Aku pernah saja mendengar nama Tere Liye, Dee Lestari, Eka Kurniawan, A. Fuadi, Okky Madassari. Tetapi untuk aku sendiri, aku memilih penulis berbanding karya/teks.

 

 

 

 

Tahun 2017 seingat aku, aku membeli novel Ayah karya Andrea Hirata. Aku tidak mengingati bagaimana aku boleh membeli novel ini. Aku acap kali mendengar siulan ‘Andrea Hirata’, tetapi tidak pernah membacanya.

Ayah itu pula, aku baca baru beberapa bulan lepas. Dan nah, inilah vibe Andrea Hirata yang dicanangkan orang!

Ada apa pada Andrea Hirata?

Foto: Andrea Hirata

Perlu digarisbawahi bahawa aku bukanlah peminat tegar Andrea Hirata. Novelnya juga aku hanya baca beberapa buah – Ayah, Laskar Pelangi, novelet Sebelas Patriot, dan Guru Aini. Mungkin aku bukanlah orang yang tepat untuk ‘menterjemah’ Andrea Hirata dalam tulisan ini. Cuma aku hendak kongsikan dengan kalian di luar sana yang takat dengan karya dari seberang dengan momokan “aku tak faham bahasa Indonesia.”

Empat buah karya yang aku khatamkan tersebut mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Tapi keempat-empatnya mengemukakan isu seputar yang sama – kanak-kanak, sekolah, anak kampung. Aku juga yakin dan percaya novel-novel lain dari beliau juga menggembur tema yang serupa.

Tema ini tidak berat bagi mana-mana manusia yang mempunyai akal yang waras. Kita bukan bercakap mengenai zaman kolonial (Pramoedya Ananta Toer), kita bukan membahaskan falsafah (Eka Kurniawan), kita bukan cuba untuk mengkritik orang beragama (HAMKA); tapi kita bercakap mengenai apa yang berlaku sekarang di hadapan mata kita yang nyata. Tema ini jelas dan boleh difahami oleh sesiapa sahaja.

Kedua, aku maklum bahawa masalah paling kanan apabila membaca karya Indonesia ialah ketidakfahaman bahasa Indonesia itu sendiri. ‘Bahasa’ itu sendiri satu masalah, ditambah pula dengan langgam bahasa yang tinggi. Di sini, tiga-empat buah novel Andrea Hirata ini bercanggah sama sekali dengan masalah ini – Andrea menggunakan bahasa laras rendah. Novel beliau ‘dicipta’ untuk bacaan bocah, bukannya bahan bacaan kajian para sarjana yang ingin menyiapkan disertasi kedoktoran.

Novel beliau rata-rata menggunakan dialek dan lenggok yang kita gunakan dalam kehidupan seharian – cuma menggunakan bahasa Indonesia. Ramai di antara sahabatku skeptik dengan bahasa Indonesia – lucu, pelik, janggal – kata mereka. Jika aku ingin mengubah persepsi kalian, nah – ini adalah bahasa asing juga! Berbanggalah jika kalian dapat membaca dan memahami bahasa Indonesia sama seperti kalian berbangga memahami bahasa Inggeris dan Korea. Andrea menulis untuk difahami oleh orang ramai, itulah gaya penulisannya. Jadi, untuk membaca novel dari Indonesia, Andrea Hirata adalah pilihan yang tepat.

Jika kalian tidak faham bahasa Inggeris, kalian terus gunakan teknologi untuk menterjemahkannya. Sama seperti bahasa Indonesia, jika kalian tidak mengerti perkataan ‘sepeda’ itu membawa maksud apa, kalian boleh menggunakan Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) untuk mencari maksudnya. Dan jangan terkejut jika ada perkataan yang anda tidak tahu dan anda cuba semak di laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang dibangunkan oleh DBP, anda akan jumpa terjemahannya. Maksudnya di sini, perkataan itu ada dalam kamus kita juga tetapi kita jarang menggunakannya. Atau kita tidak tahu langsung bahawa perkataan itu sebenarnya wujud. Dengan itu, perbendaharaan kata kita semakin bertambah.

Ketiga, ada beberapa orang sahabatku bertanya bagaimana memulakan membaca Indonesia. Aku khabarkan, untuk permulaan elakkan membaca karya yang diterjemah kepada bahasa Indonesia ataupun membaca karya Indonesia sendiri tetapi bukan fiksyen. Itu akan menyesakkan kalian. Untuk mula bertatih, kalian perlu mencari naskhah yang seronok, yang sedap. Berkali-kali aku pesan kepada rakan-rakanku, cari kandungan yang kalian berasa seronok jika membacanya. Jika tak seronok, abaikan terlebih dahulu. Jika kita rasa bahan itu sedap dibaca, maka faktor bahasa tidak menjadi masalah lagi. Di mana nak cari bahan yang seronok untuk dibaca? Jawapannya, Andrea Hirata telah menghidangkannya.

Bagaimana aku boleh membaca Andrea Hirata dengan laju? Ayah, Laskar Pelangi, Guru Aini; bukanlah novel yang nipis. Pertama, sebab temanya menarik. Dan kedua, sebab ia ada unsur kelakar yang ‘tak boleh bawa bincang’. Tiga buah novel ini aku boleh dapat rentak Andrea menulis. Satu-satu bab, mesti ada ayat yang kelakar. Kelakarnya sehingga aku tergelak pada pukul 3 pagi. Andrea menulis secara santai. Lawaknya tidak dibuat-buat. Aku beritahu di atas tadi, tema yang digunakan salah satunya adalah seputar alam kanak-kanak – cuba kalian bayangkan bagaimana telatah dan karenah atau (jika aku boleh gunakan bahasa yang sedikit kasar) ‘kebodohan’ kanak-kanak yang ditulis Andrea sangat menarik. Dan juga Andrea menulis menggunakan banyak teknik dialog berbanding penerangan/pelukisan. Jadi, ini memudahkan pembaca yang baru bertatih untuk memahaminya. Manusia cepat berinteraksi kepada hiburan, dan salah satu hiburan adalah bahan jenaka – novel-novel Andrea Hirata juga mempunyai jenaka!

Cukup sekadar empat hujah untuk aku menghasut kalian supaya tidak takut untuk membaca bahasa Indonesia. Di sini aku tidak perlu untuk mengulas karya-karya Andrea Hirata. Memadailah sekadar aku memberitahu kalian bahawasanya karya-karya beliau pernah dipetik oleh penerbit-penerbit besar – Penguin, The Economist, The Guardian; dan juga telah beredar di lebih 100 buah negara. Aku simpulkan karya Andrea Hirata ini dengan, “jika penerbit-penerbit ini menyebut sesebuah karya, maka ada ‘sesuatu’ pada karya tersebut.” Dan lagi jika kalian membaca karyanya dalam bahasa Indonesia, tidakkah kalian berasa bangga? – kalian dapat membacanya dalam bahasa asal tanpa terjemahan!

Sepanjang-panjang aku berceloteh ini, di mana nak dapatkan novelnya? Penerbitan Jejak Tarbiah ada membekalnya. Kalian boleh mencarinya di laman sesawang mereka. Bukan sahaja menjual novel-novel Andrea Hirata, bahkan beberapa ketika lagi (sepatutnya tahun ini ketika berlangsungnya PBAKL) Jejak Tarbiah akan menerbitkan karya Andrea Hirata yang bertajuk Orang-orang Biasa. Tahniah Jejak Tarbiah! Penerbit kecil ini memperoleh hak (rights) untuk menterjemah dan menerbitkan karya penulis bestseller dunia ini kepada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Satu kebanggaan buat peminat sastera Nusantara.

Mafhumnya, kita dapat menelusuri bahan bacaan yang menarik, ringan, santai, lucu; tetapi tema dan pemikiran yang besar, diuji mutunya, dikenali dunia – dengan hanya sebuah novel – Andrea Hirata.


 Naim Al-Kalantani, pelajar Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Penulisan Kreatif di Akademi Seni Warisan dan Budaya Kebangsaan (ASWARA).

    Leave a Reply

    Kenapa anda perlu membeli dengan kami?

    PENGHANTARAN PANTAS
    Tempahan anda akan diproses pada hari yang sama jika dibuat sebelum tengah hari.
    BUKU TERBAIK & BERKUALITI
    Buku-buku terbitan kami hanyalah yang terbaik dan berkualiti. Disaring mengikut keperluan semasa.
    PEMBAYARAN SELAMAT 100%
    Pembayaran boleh dibuat secara FPX / MasterCard / Visa melalui pelbagai jenis bank.

    Mari sertai komuniti buku kami agar anda tidak terlepas peluang info terkini.

    Selamat datang ke Kafe Buku Paling Sempurna, JEJAK BUKU & KOPI.

    Kombinasi sempurna antara rasa kopi dan pastri yang lazat dengan ratusan judul buku pelbagai genre.

    Nikmati WiFi percuma dan ruang duduk yang selesa untuk anda bersantai bersama keluarga atau menyiapkan tugasan di sini.

    Jemput datang ke JEJAK BUKU & KOPI di Bandar Puteri Bangi.

    Inginkan ruang khas ?

    Co-working space   l   Seminar   l   Kelas   l   Wacana   l   dan lain-lain ?

    Bintang Tanpa Nama.

    Bintang tanpa nama, barangkali begitulah kita dalam hidup seseorang. Bersinar dan wujud tetapi tidak didendang. Terpulang – dan demikianlah Ilham dan Aya yang menjadi bintang sesama sendiri.

    Di kota sederhana Kuantan, Aya menelusuri hari-harinya sebagai seorang peguam jenayah ditemani Ilham, lelaki yang pernah disukainya. Ilham, penyeduh kopi di kafe ‘Kita, Usai’ punya cerita tersendiri di sebalik senyumannya yang penuh tawa dan terkadang lara.

    Sejak mereka bertemu kembali, fasa demi fasa ditempuhi dalam waktu yang singkat – kehilangan, kemaafan, persahabatan, kekeluargaan dan cerita silam yang sentiasa melingkari hidup mereka berdua.

    Siapakah yang akan menyakiti dirinya sendiri? Aya atau Ilham? Entahlah, mungkin kamu juga. Orang yang sering membuka ruang untuk disakiti.